Sebuah rumah pusaka berusia 40 tahun didiami sepasang warga emas di Kampung Pagi, Hulu Tembeling di sini musnah dalam kebakaran jam 7.10 petang, kelmarin.
Alias Nipah, 61 dan isteri, Zainab Karim, 58 berkata, mereka sekeluarga tidak menyangka api yang dipercayai berpunca dari litar pintas itu merebak cepat, serentak dengan hujan ribut selama 30 minit di kampung berkenaan.
Menurutnya, ketika kejadian, dia berada di Kuala Lumpur kerana menemani suaminya tinggal bersama-sama seorang anaknya selepas membuat rawatan pembedahan akibat kencing manis di sebuah hospital.
“Saya terkejut menerima panggilan telefon daripada anak di sini (Kampung Pagi) dan bergegas pulang lalu mendapati rumah ini musnah hanya tinggal rangka dan hanya tinggal sedikit dinding batu-bata bahagian depan.
“Agak sukar kami sekeluarga hendak bina rumah baharu dalam tempoh terdekat ini untuk berteduh sedangkan suami saya baru selesai menjalani pembedahan akibat kencing manis,” katanya di Kampung Pagi, Hulu Tembeling di sini, kelmarin.
Keluarga Zainab diziarahi Adun Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak yang turut menyampaikan sumbangan tunai untuk menampung perbelanjaan makanan, pakaian dan peralatan binaan rumah warga emas berkenaan.
Hadir sama, Ketua Cawangan Umno Kampung Pagi, Jamaluddin Baharun dan Imam Masjid Kampung Pagi, Mi Hamidi Nipah.
Zainab berkata, ketika kejadian itu, dua anaknya, Ridzuan dan Alizan Alias berada di rumah jiran dan kedai berdekatan juga tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan harta benda kerana api marak dengan cepat ditambah ribut petir yang kuat.
Penduduk Kampung Pagi, Ahmad Nipah, 60, berkata, sebelum kebakaran, dia bersiap untuk keluar menunaikan solat Maghrib di masjid yang juga berdekatan rumah mangsa.
“Dalam keadaan petir yang kuat, saya lihat asap muncul di rumah mangsa dan serentak dengan itu api mula membakar dan kedengaran jeritan serta riuh-rendah daripada beberapa jiran.
“Penduduk tidak dapat membantu mengeluarkan perabot dan harta benda lain di dalam rumah mangsa kerana api marak malah takut dengan petir dan hujan ribut sehingga kebakaran reda sejam kemudian,” katanya.
Sementara itu, Wan Amizan memberi jaminan kerajaan negeri akan membantu keluarga warga emas berkenaan membaik pulih atau membina baharu kediaman warga emas berkenaan.
“Pejabat Dun Tahan dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) di sini akan membuat laporan kepada kerajaan negeri agar bantuan di bawah dana bencana alam disalurkan untuk membina semula kediaman supaya mangsa sekeluarga hidup selesa.
“Saya dimaklumkan petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah ini sudah menziarahi keluarga ini dan melihat kejadian kebakaran kelmarin untuk bantuan tertentu selepas ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment