Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, April 16, 2015

#PRKRompin: HANYA SATU BORANG TERJUAL SETAKAT INI





Hanya satu borang pencalonan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin yang dibeli setakat ini dari Pejabat Pilihan Raya Pahang.

Timbalan Pengarah (Operasi) Mohd Zukri Sidek berkata pihaknya menjangkakan lebih banyak borang akan dijual pada saat-saat akhir sebelum hari penamaan calon 22 April ini. 

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti pembeli. 

"Setakat ini semua persiapan untuk penamaan calon sedang giat dilakukan dan kami akan membuka bilik operasi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Rompin bermula esok (Rabu)," katanya ketika ditemui di pejabat SPR negeri di sini semalam.

Menurutnya sebanyak 38 kakitangan dari Pejabat SPR negeri akan ditugaskan untuk memastikan kelancaran perjalanan PRK Parlimen Rompin itu nanti selain dibantu oleh petugas SPR dari negeri lain dan ibu pejabat.

Mohd Zukri berkata masalah logistik antara cabaran yang akan dihadapi oleh petugas SPR dalam PRK ini memandangkan kawasan Parlimen Rompin adalah lebih besar keluasannya daripada Melaka dan Negeri Sembilan. 

"Berkeluasan 5,390.2 kilometer persegi, meliputi tiga Dun iaitu Bukit Ibam, Muadzam Shah dan Tioman memerlukan kami bekerjasama dengan agensi kerajaan yang lain untuk memastikan kelancaran perjalanan pilihan raya.

"Bagi memudahkan operasi di Tioman, kami akan menggunakan kapal dan bot Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Perikanan serta menggunakan helikopter, jika terdapat keperluan mendesak," katanya.

Untuk kawasan darat pula, katanya, bantuan polis pengiring akan digunakan untuk membawa peti-peti undi dari beberapa pusat mengundi di Felda Selancar, Rompin yang memerlukan dua hingga tiga jam untuk ke pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah. 

Berdasarkan senarai nama untuk suku ketiga 2014 yang telah dikemas kini sehingga 10 April lepas, sebanyak 53,294 pengundi layak menunaikan tanggungjawab mereka pada PRK Rompin 5 Mei nanti. 

Ia meliputi jumlah pengundi sebanyak 19,561 di Dun Bukit Ibam, Dun Muadzam Shah (17,394 pengundi) dan Dun Tioman (16,339 pengundi).

Pengundi awal pula terdiri daripada 260 anggota polis dan 285 anggota tentera di markas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Bukit Ibam, yang akan melaksanakan tanggungjawab mereka pada 30 April ini. 

Lima lagi pengundi pula disenaraikan sebagai pengundi tidak hadir (PTH) kerana berada di luar negara, kata Mohd Zuhri. 

Sementara itu, katanya, sebanyak 38 buah sekolah termasuk empat di Tioman akan digunakan sebagai pusat pengundian.

PRK Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam kemalangan helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April.

Allahyarham Jamaluddin yang menjadi anggota Parlimen kawasan itu selama enam penggal dari 1990, menewaskan Ketua Muslimat Pas Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi pada pilihan raya umum ke-13 lalu.

0 comments:

share2