Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, April 15, 2015

295 ANGGOTA POLIS BERTUGAS PRK ROMPIN






Polis Pahang akan mengerahkan 295 anggotanya bertugas semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin untuk memastikan segala urusan berjalan lancar, kata ketuanya Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani.

Beliau berkata, semua persiapan selesai dibuat dan anggota terbabit akan ditempatkan di tiga zon iaitu Rompin, Muadzam Shah dan Pulau Tioman.

"Kami juga akan meminta bantuan tambahan daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Gerakan Am (PGA), polis marin dan unit antirusuhan untuk ditempatkan di tiga zon ini," katanya.

Sharifuddin memberitahu demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini hari ini bersempena sambutan Hari Polis ke-208.

Sementara itu, Sharifuddin mengingatkan parti politik, termasuk pemimpin dan penyokong mereka supaya mematuhi arahan polis dan tidak mencetuskan kekacauan, terutama dalam tempoh berkempen. 

"Semua pihak yang ingin mengadakan ceramah dinasihati memohon permit daripada polis. 

"Kami tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang cuba menimbulkan kekacauan atau melakukan sabotaj ketika berkempen," kata Sharifuddin dan menyuarakan harapan agar PRK itu berjalan lancar seperti pilihan raya sebelum ini. 

PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandang kerusinya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April. 

Jamaluddin menjadi Ahli Parlimen Rompin selama enam penggal iaitu sejak 1990. Pada pilihan raya umum 2013, beliau mengalahkan Ketua Muslimat Pas Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 Mei sebagai hari mengundi dan 22 April sebagai hari penamaan calon.

Sumber

0 comments:

share2