Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 12, 2015

PINDAAN AKTA HASUTAN AKAN DIBENTANG


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi


Kuala Lumpur - Pindaan Akta Hasutan 1948 akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pindaan itu, antara lain, bertujuan memasukkan elemen untuk melindungi kesucian agama Islam dan agama-agama lain. 

Pindaan itu juga akan memasukkan peruntukan untuk mendakwa mereka yang menghasut supaya Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia. 

"Insya-Allah, saya akan membentangkan pindaan rang undang-undang itu di sesi Parlimen kali ini. 

"Sokongan daripada Ahli Yang Berhormat adalah dialu-alukan demi kebaikan kita," katanya dalam jawapan bertulis kepada Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) mengenai status pindaan akta itu, yang diedarkan kepada media di lobi Parlimen di sini, hari ini. 

Pada Julai 2012, akta itu dicadang supaya dimansuhkan dan digantikan dengan akta baharu dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2014, mengumumkan pengekalan akta itu bagi memastikan keamanan dan keharmonian negara yang dikecapi selama ini dapat dipertahankan.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pula memaklumkan bahawa pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia 1998 akan dibentangkan pada Oktober hadapan.

"Pindaan undang-undang sedia ada itu mengambil kira beberapa peruntukan penting mengenai pentadbiran dan penguatkuasaan, malah kerajaan telah mengadakan beberapa siri libat urus bersama-sama pihak berkepentingan," katanya dalam jawapan bertulisnya kepada Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) 

Shabudi bertanya mengenai tindakan kerajaan dalam menangani penyalahgunaan media sosial untuk tujuan menghasut, memfitnah serta jenayah siber.

Ahmad Shabery berkata kerajaan mengambil langkah strategik yang komprehensif merangkumi tindakan pencegahan, penguatkuasaan, penambahbaikan dan pengemaskinian peraturan sedia ada bagi memastikan penyalahgunaan internet dapat ditangani secara holistik.

0 comments:

share2