Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 13, 2015

KUANTAN : PANTAI TELUK CEMPEDAK SUNYI

Pantai Teluk Cempedak sunyi


Musim panas dan kering yang melanda pada masa ini membuatkan rakyat di negeri ini lebih suka menghabiskan masa di rumah.

Tinjauan Sinar Harian di Pantai Teluk Cempedak mendapati sunyi sepi dan hanya segelintir individu sahaja yang bersantai di kawasan peranginan itu.

Berdasarkan rekod ramalan oleh portal cuaca, AccuWeather, catatan suhu 32 darjah Celcius bagi kawasan daerah Kuantan.

Seorang peniaga makanan, Sarini Mohamad, 23, berkata sejak musim panas tidak ramai pengunjung yang mengunjungi kawasan pantai itu berbanding sebelum ini.
Katanya, jika dahulu pengunjung ramai walaupun ia bukan hujung minggu, namun kini berlaku sebaliknya.

“Tengoklah ramai peniaga berbanding dengan pengunjung. Semua makanan yang dijual tak laku,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Mohd Rustam Abu Bakar, 45, juga mengatakan perkara yang sama dan dia mengalami kerugian sejak akhir-akhir ini berikutan pengunjung semakin berkurang.

“Pengunjung ada tetapi tidak seperti sebelum ini. Saya percaya faktor cuaca membuatkan kebanyakan masyarakat kurang menjalankan aktiviti mereka seperti sebelum ini,” katanya.

Salah seorang pengunjung ketika ditemui, Nor Syahirah Razuan berkata walaupun musim panas dia bersama rakannya tetap meluangkan masa di kawasan peranginan ini.

“Saya datang ke sini untuk makan di samping menghirup udara segar dan melihat kebiruan pantai,” katanya.

Katanya, namun dia tidak menjalankan aktiviti riadah seperti mandi manda bimbang masalah kesihatan akan berlaku seperti dehidrasi,

“Dehidrasi boleh berlaku setiap kali musim panas dan disebabkan itu kita mesti minum air mencukupi serta kurang melakukan kegiatan luar rumah,” katanya.

Sementara itu, Siti Hajar Kamarulzaman, 22, memberitahu dia lebih suka berada di rumah setiap kali musim panas dan kering.

Bagaimanapun, katanya dia terpaksa keluar ke Pantai Teluk Cempedak kerana ingin menikmati makanan kegemaran di kawasan ini.

“Setiap kali saya datang makan ke sini, saya akan luangkan masa bersiar-siar dan menikmati keindahan alam semula jadi,” katanya.



0 comments:

share2