Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, February 12, 2015

KUANTAN : WUJUDKAN PELAN INDUK KESIHATAN

Norol Azali Sulaiman


Jabatan Kesihatan Negeri akan mewujudkan pelan induk bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, antara perkara utama yang akan dibincangkan adalah soal pengurusan pasca banjir yang lebih sistematik dan berkesan kepada komuniti untuk mengatasi isu kesihatan di kawasan terjejas banjir.

Menurutnya, buat masa ini tiada tindakan secara khusus yang boleh diambil dalam menghadapi situasi pasca banjir seperti menangani penyakit bawaan air di kawasan terlibat banjir.

“Kita akan melihat dari segi keperluan makmal uji kaji penyakit Leptospirosis di negeri ini agar keputusan mengenai penyakit tersebut diperoleh dengan tempoh yang singkat berbanding sekarang.

“Keperluan terhadap makmal berkenaan dilihat sangat penting kerana ia memberi peluang kepada pakar untuk melakukan kajian dengan lebih mendalam berkaitan penyakit bawaan itu,” katanya.

Norol Azali berkata, selain bertujuan meningkatkan perkhidmatan kesihatan dengan lebih berkesan, penambahbaikan terhadap kemudahan infrastruktur kesihatan akan dimasukkan dalam pelan induk berkenaan.

Beliau berkata, pelan induk berkenaan akan siap pada tahun ini selepas perbincangan secara menyeluruh dilaksanakan

Dalam pada itu katanya, Pahang mencatatkan 273 kes demam denggi dalam tempoh tiga minggu pertama tahun ini dan tiada kematian dicatatkan.

“Walaupun begitu, kita tidak boleh sambil lewa dalam soal kebersihan persekitaran sama ada di rumah atau asrama.

“Kita perlu memastikan risiko pembiakan aedes diatasi seperti membersihkan tempat takungan air dan sebagainya,” katanya.



0 comments:

share2