Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 10, 2015

PEKAN : SEBAK LIHAT ANAK LEMAS DEPAN MATA


Sedih dan pilu seorang ibu yang menatap wajah arwah anak bongsu buat kali terakhir mengundang sebak semua yang hadir.



“Ketika melihat anak tergelincir ke dalam longkang batu dan mula terkapai-kapai, saya terus terjun ke dalam air dan cuba menyelamatkannya, tetapi gagal,” luah Ketua Kampung Temai Hilir, Johar Sulaiman sebak ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Pekan, kelmarin.

Menceritakan kembali detik cemas dan pilu itu, ketika kejadian dia dan anak bongsunya, Fadzil Noor, 24, sedang menaiki sebuah bot gentian kaca yang terletak di tepi jalan untuk ke rumahnya yang masih ditenggelami air (banjir).

“Anak saya berada di bahagian depan dan cuba menaiki bot, tiba-tiba dalam sekelip mata saya melihat dia tergelincir ke longkang besar berhampiran yang agak luas serta dalam dan masih dipenuhi banjir air.

“Kejadian pantas di depan mata menyebabkan saya benar-benar tergamam, namun saya nekad terjun ke dalam air untuk menyelamatkan anak yang diketahui tidak pandai berenang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pekarangan bilik mayat Hospital Pekan.

Johar berkata, keadaan fizikal anaknya yang besar tegap menyebabkan usaha dia mengangkat anaknya naik ke atas permukaan air menjadi lebih sukar malah kudratnya dikerah habis-habisan bagi menyelamatkan nyawa anaknya.

“Keadaan air yang turut berarus deras menambah kesulitan, namun saya tetap berusaha memegang kejap tubuh anak walau saya sendiri tertelan banyak air dan tenaga semakin lemah.

“Dalam keadaan kalut dan cemas itu, isteri saya Rozilah Mohd Razali yang turut melihat kejadian dari beranda rumah menjerit meminta bantuan seorang penduduk agak berusia kebetulan sedang lalu dengan motosikal sebelum menerima lebih tenaga bantuan daripada beberapa orang anak muda kampung yang terjun ke dalam air untuk menarik naik anak saya yang mula tenggelam,” katanya.

Nekad mahu selamatkan anak

Johar berkata, walau berdepan situasi amat getir ketika itu, apa yang terlintas di fikiran hanyalah ingin menyelamatkan anaknya yang masih jelas terbayang terkapai-kapai lemas di mata serta ingatan dia dan isteri hingga saat ini.

“Selepas anak berjaya dinaikkan, mereka turut memberi bantuan kecemasan seperti pernafasan selain menekan dadanya bagi memastikan jantung masih bergerak sebelum bantuan ambulan dan anggota perubatan kecemasan tiba di lokasi tidak lama kemudian.

“Ketika itu banyak air yang keluar dari mulut serta hidung anak dan keadaannya disahkan kritikal ketika dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Pekan bagi menjalani rawatan lanjut.

“Pada saat itu, walaupun diri sendiri terlalu lemah akibat cuba menyelamatkannya, perasaan gusar terlalu kuat berkocak di hati saya dan isteri mengatasi segala, sehabis tenaga usaha saya akhirnya tidak mampu mengatasi takdir Allah SWT yang telah menentukan ajal yang
menjemputnya ketika sedang menerima rawatan,” katanya.

Baru empat jam sampai kampung

Perasaan ralat dan pilu di hati keluarga terus membekas apatah lagi arwah baru sahaja tiba di rumah dari Kuala Lumpur kira-kira jam 2 petang pada hari kejadian.

Sinar Harian dimaklumkan, arwah amat gembira kerana dapat pulang membantu keluarga membersihkan kesan banjir dan mengangkat turun barang-barang rumah yang diselamatkan dan disimpan sendiri olehnya di tempat lebih tinggi ketika awal bencana berkenaan melanda penghujung Disember lalu.

Mahasiswa Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang Selangor itu juga dikatakan pulang ke kampung selepas selesai menduduki peperiksaan, di mana keluarganya baru sahaja dapat pulang ke rumah pada hari kejadian selepas tinggal di pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan Temai selama hampir dua minggu.

Arwah yang juga penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Kayu, pengkhususan dalam bidang Teknologi Biokomposit itu juga sepatutnya mula sibuk dengan kuliah serta projek akhir sebelum bakal bergelar siswazah apabila pengajiannya tamat pada Jun nanti.

Hadir sama menziarahi arwah dan menyampaikan salam takziah kepada Johar sekeluarga ialah Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman; Speaker Dun Pahang, Datuk Ishak Muhamad; Pegawai Daerah Pekan, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali; Pembantu Peribadi
Ahli Parlimen Pekan, Datuk Zainal Abidin Pa’Wan serta pemimpin setempat.

Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan kira-kira jam 11.30 malam kelmarin di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serambi.

Pemergian Allahyarham Fadzil lewat petang kelmarin menjadikannya korban pertama bencana banjir pertama di daerah Pekan di mana paras air di kebanyakan lokasi sekitar daerah masih tinggi walaupun catatan di tiga buah sungai utama mula menunjukkan penurunan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman yang ditemui mengesahkan kejadian berkenaan dan polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut (lemas).




0 comments:

share2