Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 11, 2015

NAJIB MAKLUM RANGKA SOP HADAPI BANJIR BESAR



PEKAN, 10 Jan - Prosedur operasi standard (SOP) bagi menghadapi banjir besar akan dirangka sebagai garis panduan dan dijangka dibentangkan pada Kabinet dalam tempoh enam bulan lagi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata SOP itu nanti akan mencakupi pelbagai aspek termasuk penambahan aset, arahan dan kawalan, peralatan komunikasi, latihan simulasi, kaji cuaca dan bekalan elektrik.

Beliau berkata SOP sedia ada hanyalah untuk menghadapi banjir biasa yang memerlukan SOP baharu dirangka bagi membolehkan kerajaan lebih bersedia daripada semua aspek termasuk alat bersesuaian untuk menghadapi banjir besar.

"Jika dalam soal ini ATM (Angkatan Tentera Malaysia) menjadi agensi utama maka ia akan dibekalkan dengan peralatan yang bersesuaian untuk hadapi bencana ini dan dalam masa yang sama aspek ramalan kaji cuaca jua perlu lebih tepat dan awal supaya dapat memberikan maklumat awal.

"Apabila tahu awal, kami juga boleh menempatkan anggota seperti tentera, bomba dan agensi lain lebih awal supaya apabila air naik kami mempunyai kemampuan yang lebih besar," katanya dalam sidang media di Pusat Operasi Banjir Parlimen Pekan di Baitul Rahah di sini hari ini.

Turut hadir isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin.

Perdana Menteri turut menyarankan pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) dibina di tempat lebih tinggi supaya tidak terjejas apabila berlaku banjir.

Beliau juga berkata sekumpulan pakar telah diarah untuk membuat kajian tentang punca sebenar berlakunya banjir luar biasa khususnya di negeri-negeri Pantai Timur.

Najib berkata kajian itu bagi membolehkan langkah pencegahan jangka pendek dan jangka panjang diambil untuk mengelak banjir skala besar berulang.

"Kita nak tahu apa faktor yang menyebabkan banjir skala besar kali ini, apabila tahu punca barulah kita boleh tentukan bagaimana boleh mengolah pembangunan negara supaya ia tidak membawa kesan buruk kepada alam sehingga terjadi bencana seperti ini.

"Ia tidak semestinya berpunca daripada pembalakan atau penerokaan tanah sahaja, tetapi pelbagai faktor bertembung, sebab itu berlakunya banjir besar ini," katanya.

Pengurusan semasa dan pasca banjir kali ini, katanya telah dipecahkan kepada tiga peringkat iaitu bantuan terhadap mangsa banjir, membersih sekolah serta kemudahan awam supaya dapat beroperasi seperti biasa selain tumpuan membina kembali kediaman yang musnah.

Najib berkata keutamaan pada masa kini adalah untuk membina rumah baharu untuk mangsa banjir yang kehilangan rumah dan mempunyai tanah sendiri manakala bagi mereka yang tinggal di kawasan setinggan akan dirujuk kepada kerajaan negeri untuk kawasan penempatan sesuai untuk mereka.

Dalam ucapannya pada majlis penyampaian sumbangan bantuan persekolahan daripada Yayasan Pahang kepada 260 pelajar di pusat pemindahan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Paloh Hinai di sini, Perdana Menteri berkata rakyat perlu mempunyai perspektif baharu dalam menghadapi bencana alam dengan turut bertanggungjawab bagi mengurangkan punca banjir melalui pematuhan undang-undang yang ditetapkan.

"Kita selalu tuding jari kepada kerajaan kalau ada kelemahan untuk tangani bencana ini, tetapi sebenarnya ia juga tanggungjawab bersama kerana sebagai rakyat kita perlu mematuhi undang-undang atau peraturan.

"Kalau sudah diluluskan kawasan untuk menebang dan membuka tanah pertanian kita perlu patuh pada undang-undang. Kalau kelulusan satu ekar (0.4 hektar), jangan buka satu ekar tambah empat. Yang empat ekar lagi jadi tanah haram," katanya.

Najib berkata begitu juga dengan kegiatan perlombongan dan penerokaan tanah untuk pertanian, perlu mematuhi garis panduan pembangunan secara mampan untuk mengelak kesan pencemaran alam itu terpalit kepada rakyat.

Bagaimanpun, katanya dalam musibah banjir yang melanda itu, beliau merasa lega apabila ia telah berjaya menyatukan semua lapisan rakyat di seluruh negara tanpa mengira bangsa serta agama apabila bantuan tidak putus-putus dihantar ke negeri-negeri yang terjejas dengan banjir.

Perdana Menteri turut mengingatkan mangsa banjir agar menitikberatkan soal kesihatan terutama aspek pemakanan.

"Saya sepatutnya datang buat lawatan lebih awal tetapi saya juga tergolong dalam mangsa banjir sebab terkena (jangkitan bakteria) e-coli ... tidak dapat keluar rumah. Pengalaman itu kalau boleh saya tak nak ulang balik.

"Sebab itu saya nak ingatkan, kalau nak minum, kena minum air yang bersih dan yang telah dimasak, begitu juga kalau nak makan kena pastikan bahan-bahan yang nak dimasak itu dibasuh dengan teliti," katanya.




0 comments:

share2