Ketua Pemuda Parti Gerakan, Tan Keng Liang dalam satu kenyataannya yang dipetik oleh portal pro pembangkang telah menggariskan salah satu punca rakyat menjauhkan diri dari BN disebabkan kewujudan NGO parasit yang menjejaskan imej BN.
Katanya, “NGO tersebut selalu memberi tanggapan seolah-olah mereka adalah penyokong BN. Sebaliknya, pemimpin mereka mengeluarkan kenyataan ekstremis yang membuatkan rakyat Malaysia marah dan benci dengan BN. Ini hakikat”.
Dia tak sebut secara terbuka nama NGO yang dikatakan sebagai parasit, tapi semua maklum ia ditujukan kepada NGO Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang diketuai bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang walaupun mesra BN tetapi cukup kritis dalam banyak isu.
Bukan satu rahsia pun sejak Perkasa ditubuhkan kira-kira lapan tahun lalu, parti komponen BN seperti Gerakan dan MCA sering menjadikan Perkasa sebagai sasaran kecaman seolah-olah mahu menyembunyikan hakikat kelemahan mereka sendiri dalam menguatkan BN.
Kalau Ketua Pemuda Gerakan ada terdetik untuk mengetuk akal fikiran sendiri patutnya dia sedar sewaktu BN dilanda tsunami politik pada PRU-12 2008 dulu NGO Perkasa belum pun wujud. Tapi kenapa Gerakan tetap kalah banyak kerusi yang mereka tandingi termasuk hilang penguasaan di Pulau Pinang?
Bukankah itu sudah cukup menjelaskan soal kewujudan Perkasa yang didakwa menjadi parasit kepada BN adalah satu kesimpulan yang dangkal dan langsung tiada kena mengena dengan prestasi hambar Gerakan dalam PRU-12 mahupun PRU-13 yang lalu.
Perkasa bukannya punca penurunan prestasi BN dalam PRU-12 dan bukan juga penyebab kejatuhan Kerajaan BN Pulau Pinang yang didominasi Gerakan tika itu.
Begitu juga dalam PRK Parlimen Teluk Intan baru-baru ini, jika kelibat kewujudan Perkasa masih mahu dijadikan kambing hitam sepatutnya Presiden Gerakan yang mewakili BN sudah kalah teruk apatah lagi sepanjang kempen PRK itu Perkasa turut memainkan peranan meraih sokongan pengundi untuk BN.
Sebetulnya dalam isu yang dibangkitkan Ketua Pemuda Gerakan itu soal rakyat menjauhkan diri dari BN disebabkan Perkasa atau NGO seumpamanya tidak timbul pun.
Sejarah PRU-13 menunjukkan BN menang di peringkat Pusat serta 10 negeri yang lain termasuk menawan kembali Kedah dan Perak. Demikian halnya dalam 7 siri PRK, BN berjaya mengekalkan kemenangan lebih cemerlang di PRK DUN Kuala Besut, Balingan dan Pengkalan Kubor serta merampas kembali Teluk Intan dari DAP.
Pembangkang seperti PAS, PKR dan DAP pula walaupun masih mengekalkan penguasaan Sungai Limau, Kajang dan Bukit Gelugor tetapi mengalami kemerosotan undi dan majoriti yang ketara.
Itu membuktikan sedikit demi sedikit BN terutama sekali UMNO dan beberapa parti komponen lain berjaya meningkatkan pengaruhnya walaupun di masa yang sama Gerakan & MCA terus gagal menyumbang peningkatan sokongan dan undi yang signifikan dari pengundi keturunan Cina untuk BN.
PR menang bukan kerana adanya Perkasa dan BN kalah di tiga kawasan PRK itu juga bukan disebabkan wujudnya Perkasa. Berhentilah dari menyalahkan pihak lain atas kelemahan sendiri dan tak usahlah terikut sangat gerak tari politik kebencian ala DAP.
Realiti yang patut Gerakan perlu akui ialah sebahagian besar pengundi keturunan Cina masih jauh dari jangkauan mereka disebabkan kelemahan gerak kerja parti itu sendiri yang gagal meyakinkan khalayak bahawa mereka lebih baik dari DAP.
Mengikut gerak tari DAP dengan mengecam Perkasa atau lain-lain NGO mesra BN tidak menyebabkan Gerakan kelihatan lebih kuat dari DAP melainkan hanya menunjukkan Gerakan sudah hilang asas kekuatannya yang selama ini menentang sikap rasis kecinaan yang didominasi DAP.
Hakikat ini nampaknya sampai sekarang gagal difahami pemimpin Gerakan. Malang betul.
0 comments:
Post a Comment