Kuantan - Seorang lelaki berusia 21 tahun dipercayai menjadi dalang memproses dadah ditahan dalam serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, Ahad lalu.
Dalam serbuan kira-kira jam 1.30 pagi di sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Haji Ahmad itu, lelaki terbabit ditahan bersama enam ahli keluarga yang lain berusia antara 19 hingga 69 tahun selain seorang wanita warga asing dipercayai tukang masak di kedai makan milik suami isteri yang ditahan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani berkata, pihak polis percaya aktiviti memproses dadah yang dijalankan itu diketahui oleh kedua-dua ibu bapa lelaki berkenaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut di dalam rumah berkenaan, menemui sebuah bilik dijadikan tempat memproses dadah jenis syabu.
“Hasil siasatan, lelaki berusia 21 tahun itu memberitahu dia mempelajari cara memproses dadah melalui internet.
“Polis menjumpai beberapa bahan seperti 3.49 gram syabu siap diproses, 125.39 gram syabu (belum masak sepenuhnya), 3335.66 gram meth oil, bahan kimia seperti hydrochloric acid dan sodium hydroxide selain peralatan yang digunakan untuk memasak syabu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Sharifuddin berkata, penemuan bahan itu dipercayai untuk memproses dadah dan boleh menghasilkan 2.5 kilogram (kg) dadah jenis syabu.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM323,600 termasuk menyita tiga kereta jenis proton saga dan Perodua Kancil.
“Berdasarkan rekod, bapa kepada lelaki itu mempunyai empat rekod jenayah berkaitan kes dadah termasuk pernah ditahan sebanyak tiga kali di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
“Kesemua lelaki yang ditahan didapati positif syabu manakala suspek wanita negatif,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek kini direman selama seminggu .
Sharifuddin berkata, orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah yang berlaku kepada pihak berkuasa untuk sebarang tindakan.
0 comments:
Post a Comment