Kuantan - Seorang anggota geng kongsi gelap 77 bersama isteri dan seorang pekerjanya ditahan polis berikutan penemuan sepucuk pistol jenis Magnum .22 USA serta sebutir peluru hasil serbuan ke atas kediamannya di Taman Balok Makmur dekat sini, malam kelmarin.
Hasil penahanan suspek berusia 32 tahun berasal dari Kemaman, Terengganu yang bekerja sebagai kontraktor itu, polis turut merampas dua biji pil kuda,
kelongsong peluru, komponen pistol dan beberapa barangan tertera logo dipercayai lambang kongsi gelap.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abd Ghani berkata, polis turut menahan isteri lelaki terbabit berusia 30 tahun berasal dari Kuantan dan pekerjanya berusia 25 tahun dari Kelantan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, serbuan dilakukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang itu susulan maklumat awam berhubung satu kes pengedaran dadah.
“Ketika serbuan kira-kira jam 8.30 malam itu, suspek bersama isteri dan pekerjanya ada di rumah bagaimana pun mereka tidak melawan atau cuba melarikan diri ketika ditahan.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek dan rumah tersebut membawa kepada penemuan senjata api dan barangan lain yang dirampas,” katanya dalam satu sidang media di sini, semalam.
Sharifuddin berkata, hasil siasatan ke atas suspek dia mengaku memiliki pistol itu sejak lima bulan lalu sekadar hobi selain untuk menjaga keselamatan diri.
“Suspek mendakwa membeli pistol tersebut dari negara jiran dengan harga RM2,600 dan baru sekali melakukan tembakan bagi mengujinya selepas dibeli.
“Hasil semakan mendapati tiada sebarang maklumat yang menunjukkan suspek pernah menggunakan pistol tersebut untuk sebarang kegiatan jenayah,” katanya.
Beliau berkata, lelaki terbabit juga mengakui menganggotai kumpulan kongsi gelap 77 bagaimana pun penglibatannya sekadar suka-suka dan tidak aktif.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama seminggu di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bermula 17 Oktober lalu untuk siasatan lanjut.
“Hasil semakan rekod mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau bagaimana pun dia daripada mereka (lelaki) didapati positif dadah jenis methamphetamine hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan.
“Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.
Sharifuddin berkata, suspek juga turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 berikutan rampasan dua biji pil kuda dan jika sabit kesalahan mereka berdepan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Orang ramai juga diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada balai polis berhampiran atau menghubungi talian Hotline IPK Pahang, 09-5151999,”katanya.
0 comments:
Post a Comment