Lenggong - Kira-kira 10 rumah di Kampung Selat Pagar, di sini, rosak di bahagian bumbung akibat dilanda ribut yang berlaku pada Ahad lalu.
Mangsa ribut, Chow Pek Chee, 63, berkata, kejadian itu merupakan kali kedua berlaku di kampung itu sejak 40 tahun lalu.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, angin terlalu kuat dan menerbangkan bumbung rumahnya.
"Saya segera mencari tempat yang selamat di dalam rumah kerana bimbangkan keselamatan diri.
“Saya lega kerana keadaan tidak begitu teruk dan saya juga tidak cedera,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Pek Chee berkata, selepas ribut reda, dia segera keluar dari rumah dan mendapati kediaman lain turut terjejas.
Jelasnya, beberapa rumah jiran turut mengalami keadaan yang sama seperti kediamannya malah ada mengalami kerosakan dinding.
“Banyak rumah yang mengalami kerosakan di bahagian bumbung dan banyak atap pecah berada di atas jalan raya akibat diterbangkan angin.
“Saya difahamkan tiada penduduk yang mengalami kecederaan kerana ramai diantaranya bersembunyi di dalam rumah sewaktu kejadian berlaku,” katanya.
Sementara itu, Ketua Cabang PKR Lenggong, ID Azalan Shah Banyamin melawat mangsa ribut di kampung tersebut bagi meninjau keadaan mereka, pagi kelmarin.
Katanya, sedikit bantuan diberikan bagi meringankan beban mangsa dan beliau berharap pihak berkenaan dapat menyegerakan penyerahan bantuan tabung bencana.
“Ribut ini kali kedua berlaku di sini kerana sebelum ini pernah berlaku tetapi pada 40 tahun lalu.
“Saya berharap pihak berkenaan dapat turun padang dan membantu mangsa ribut, di sini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment