Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 7, 2014

ZAMAN KHAN TEGUR GUAN ENG


Zaman Khan Guan Eng

Shah Alam – Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencabar Ketua Polis Negara mengadakan perbahasan secara terbuka bersabit isu Pasukan Peronda Sukarela (PPS) adalah silap dan tidak wajar.

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan berkata, tindakan pihak polis menahan anggota PPS terbabit adalah mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.

"Kesilapan dia (Guan Eng) sebab mencabar, apa polis boleh buat? Polis kena siasat dulu, bila polis tangkap (PPS) dia pula nak mencabar.

"Mana boleh cakap macam itu! Kita boleh mencabar mengikut perundangan yang betul, kalau kita tidak pasti dan tiada pengetahuan, jangan main-main," katanya kepada Sinar Harian Online.

Isnin lalu, Guan Eng mengemukakan cabaran itu selepas tidak berpuas hati apabila polis menahan 156 anggota PPS termasuk Pengerusinya yang juga Exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pualau Pinang, Phee Boon Poh kerana ingkar amaran supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti selepas mendapati pasukan itu tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Kumpulan itu ditahan sejurus selesai menyertai perbarisan pada Hari Kemerdekaan 31 Ogos lalu di Padang Kota, Pulau Pinang. 

Ekoran ugutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis tampil mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak mengugut dan mencabar pihak berkuasa sehingga membelakangkan undang-undang negara.

Najib berkata, walaupun kerajaan mengalu-alukan apa sahaja sumbangan daripada mana-mana pihak untuk membanteras jenayah, namun sebarang tindakan perlu berlandaskan undang-undang negara dan bukan dibuat sesuka hati.

Dalam pada itu, Zaman Khan berkata, jika benar Guan Eng mahu menjaga negeri itu daripada ancaman jenayah, mereka sepatutnya berbincang dengan pihak polis dan Kerajaan Persekutuan.

"Dulu kita ada Rukun Tetangga, ia berjaya, tapi ia dibuat dengan persetujuan Kerajaan Persekutuan.

"Masalahnya dia (Guan Eng) tak nak guna Rela, boleh pakai Rela. Guan Eng ada muslihat lebih daripada itu (kepentingan politik)," dakwanya lagi.

0 comments:

share2