Johor Bahru - Empat lelaki termasuk serang penjaga premis ditahan dalam serbuan anggota dan pegawai Ibupejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di sebuah pusat hiburan keluarga Zon Pandan, Pandan City, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, dalam serbuan jam 3 petang itu, polis turut merampas 12 mesin hiburan keluarga berunsur perjudian, wang tunai RM228 dan dua kunci tambah kredit.
“Premis juga gagal mengemukakan lesen pusat hiburan keluarga yang sah.
“Tangkapan dan rampasan telah serah kepada pegawai penyiasat untuk siasatan di bawah Sek 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Sek 6(2) Enakmen Negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Dalam perkembangan lain, Sulaiman mengesahkan seorang lelaki berusia 61 tahun meninggal dunia ketika sedang memandu di dalam keretanya di persimpangan lampu isyarat Pasir Pelangi, Jalan Sultanah Aminah, Taman Pelangi, kelmarin.
“Sekitar jam 5 petang, semasa pengadu iaitu anak si mati, Tan Jau Guang, 33, memandu dalam perjalanan balik ke rumah, telah dihubungi kawan ayahnya beritahu ayahnya, Tan Eng Liang (mangsa) telah meninggal dunia di lokasi berkenaan.
“Apabila pengadu sampai di lokasi sekitar jam 6 petang, didapati mangsa tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pihak petugas ambulan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat serangan jantung.
Menurutnya, hasil temu bual awal melalui rakan wanita mangsa berusia 34 tahun yang berada dalam kereta bersama mangsa, mereka dalam perjalanan balik ke rumah dan bila sampai di tempat kejadian telah mengadu sakit dada dan terus tidak sedarkan diri.
“Melalui siasatan fizikal mangsa dan dalam kenderaan tersebut dapati tiada sebarang insiden berunsur jenayah ditemui. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, untuk bedah siasat,” katanya.
0 comments:
Post a Comment