Shah Alam: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sebentar tadi menafikan akan meletakkan jawatannya, seperti yang disebarkan dalam mesej aplikasi WhatsApp yang menyatakan beliau sudah menyerahkan surat peletakan jawatan pagi tadi.
Beliau yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat perancangan di sini, pagi tadi, meminta pihak yang tidak bertanggungjawab itu menghentikan penyebaran khabar angin mengenai peletakan jawatannya.
Sejak malam semalam, tersebar mesej aplikasi WhatsApp yang menyatakan Abdul Khalid akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bagi menyerahkan surat peletakan jawatannya.
Kira-kira jam 11.30 pagi tadi, satu lagi mesej WhatsApp tersebar, kononnya daripada agensi Berita Nasional (BERNAMA) yang menyatakan bahawa Abdul Khalid sudah pun meletakkan jawatan dan Pesuruhjaya PAS Selangor dijangka mengangkat sumpah jawatan pada jam 2 petang ini.
Bagaimanapun, kira-kira sejam kemudian, BERNAMA menyebarkan berita terkini (flash) yang menafikan penyebaran berita peletakan jawatan Abdul Khalid.
0 comments:
Post a Comment