KUANTAN - Lima peniaga roti john dan murtabak di bazar Ramadan di daerah ini diberi teguran selepas didapati tidak membasuh telur ayam dengan sempurna sebelum digunakan dalam masakan mereka.
Ketika pemantauan dilakukan pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Pejabat Kadi Daerah, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), kesemua peniaga itu sedang sibuk membuat persediaan untuk memulakan perniagaan.
Peniaga terbabit bagaimanapun menyambut baik teguran secara lisan itu dan membersihkan telur sebelum menyediakan masakan kepada pelanggan.
Mereka juga didapati meletakkan telur di dalam bakul tetapi masih kelihatan tidak bersih dan boleh mengakibatkan pencemaran ke atas makanan yang dijual.
Ketua Unit Pengurusan Halal, Jaip, Noridzuan bin Abdul Manan berkata, hasil pemantauan di beberapa bazar mendapati ada penjual yang tidak membasuh telur dengan sempurna dan masih terdapat kesan najis di kulit telur berkenaan.
Menurutnya, Jaip memberi teguran secara lisan supaya semua peniaga berkenaan mengubah cara membasuh telur dan bersih.
“Jika ada kesan najis, ia tersasar dari takrif halal sedangkan ketika penyediaan makanan hendaklah tidak mengandungi najis,” katanya.
Beliau berkata, mereka yang menyediakan makanan di rumah juga perlu peka dengan kebersihan dan tiada sebarang unsur pencemaran ketika penyediaan dan pemprosesan.
Justeru katanya, pengendalian makanan juga perlu jauh dari tempat bernajis dan kekal bersih sepanjang proses penyediaan dilakukan.
Noridzuan berkata, Jaip sebelum ini sudah memberi taklimat berkaitan Halal kepada semua peniaga bazar Ramadan di seluruh negeri.
Katanya, antara perkara yang ditekankan adalah penggunaan bahan ramuan yang disahkan halal dan menjaga tahap amalan kebersihan yang maksima ketika penyediaan makanan.
0 comments:
Post a Comment