Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 6, 2014

DBKL SEDIA RUMAH PERLINDUNGAN UNTUK GELANDANGAN




Kuala Lumpur - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mewujudkan rumah perlindungan untuk gelandangan di ibu negara, sebagai tambahan kepada Anjung Singgah yang disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata rumah perlindungan yang akan dibangunkan dengan selesa itu dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

"Barangkali kita akan membeli empat buah rumah kedai empat tingkat di Lorong Haji Taib untuk diubah suai (menjadi rumah perlindungan)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan wang tunai dan keperluan asas kepada 500 penerima termasuk fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas pertemuan dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan 'Soup Kitchen' Selasa ini, Tengku Adnan berkata ia akan menjernihkan salah faham berkaitan kenyataan beliau sebelum ini selain membincangkan lokasi lebih sesuai untuk mereka meneruskan aktiviti amal.

"Saya mengalu-alukan mereka membantu kita memberi makanan kepada gelandangan malah saya sampai sekarang pun ada memberi sumbangan dalam bentuk beras kepada Soup Kitchen di Jalan Imbi.

"Jadi kita akan bincang dengan mereka bersama DBKL bagaimana untuk selesaikan masalah ini secara baik kerana kita nak juga memastikan bahawa gelandangan ini terbela," katanya.

Khamis lepas, Tengku Adnan berkata Soup Kitchen tidak lagi dibenar beroperasi dalam lingkungan 2 kilometer dari pusat beli-belah terkemuka Lot 10 di Jalan Bukit Bintang, yang meliputi sebahagian besar pusat bandar, berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, langkah itu adalah usaha kerajaan bagi membersihkan ibu kota daripada golongan peminta sedekah serta gelandangan dan aktiviti Soup Kitchen yang memberi makanan kepada mereka, mencemarkan imej bandar raya, terutama dari segi kebersihan.

0 comments:

share2