Bukan saja Gen Y, semua golongan tahu Facebook bukan sekadar laman sosial. Bagi yang mengetahui hakikat ini tidak ragu untuk mengakui manfaat Fb lebih daripada itu. SHUHADA MANSOR percaya majoriti peniaga di laman sosial terdiri daripada remaja. Justeru, wujudkan karakter ini dalam diri sekiranya anda ingin memiliki empayar perniagaan Fb terkenal di seluruh dunia.
Orang lama yang berpengalaman dalam sesuatu bidang ataupun lebih senang dipanggil ‘otai’ dalam bahasa pasar pasti menjadi tempat rujukan khususnya bagi peniaga yang berhasrat ingin membina tapak tersendiri.
Walaupun kita terhimpit dengan persepsi orang lama ‘buta IT’ (teknologi) namun penulis percaya cara dan strateginya tidak jauh berbeza.
Berbual dengan beberapa individu berjaya dalam bidang perniagaan sama ada dalam industri fesyen, baju keluaran tempatan mahupun makanan, mereka tidak menafikan kehebatan media massa dalam menaikkan sesebuah jenama.
Kita sedar wujudnya penambahan cabang laman sosial hari demi hari, namun walaupun sudah ada pesaing tersendiri, Fb antara landasan kukuh yang masih digunakan peniaga untuk memasarkan produk mereka.
Bagi kita yang ingin memulakan langkah dengan menggunakan Fb sebagai platform utama, apa yang terbaik boleh dilakukan? Berkongsi isi perbualan penulis bersama mereka yang pakar dalam bidang ini, banyak tip dan pendapat boleh dikembangkan. Dari sudut pandang seorang pemilik bisnes atau usahawan, Fb adalah lubuk duit yang mempunyai potensi besar tidak kiralah apa jenis produk dipasarkan. Strategi pemasaran mantap mampu buatkan seseorang berjaya sekelip mata.
Tidak dinafikan, semakin besar ‘lubuk wang’ yang boleh diteroka semakin banyak persaingan wujud di setiap cabang. Terdapat kategori peniaga yang hanya menjalankan bisnes di Facebook dan berjaya mencapai keuntungan sehingga lima angka. Persoalannya, bagaimana usahawan baru berupaya mencipta kejayaan sama?
Anggap diri emas
Hal biasa bagi anak muda, rakan di sekeliling kita menggunakan Fb sebagai tempat untuk mengumpat, bercerita kosong, jampi serapah orang lain dan melakukan aktiviti yang membuang masa dan merosakkan minda. Oleh itu, jadikan aktiviti anda di Fb berbeza dengan mereka. Jangan terlalu serius, santai dan fikirkan setiap masa yang anda luangkan sebaik saja melayari Fb adalah emas.
Selain itu, jangan terlalu terikut-ikut dengan hobi atau ‘nafsu’ yang ada. Kurangkan menekan butang ‘suka’ untuk perkara yang tidak terlalu penting contohnya kategori fesyen lebih 10 halaman sehari. Pejam mata dan jadi pengikut halaman usahawan yang berjaya supaya boleh membakar semangat kita setiap masa.
Bukan itu saja, terapkan disiplin supaya kita tidak menggunakan Facebook untuk berbual kosong. Tidak salah untuk santai tetapi perlu sentiasa ingat, anda mahu gunakan Facebook untuk menjemput lebih banyak duit ke dalam akaun bank sendiri berbanding berbual kosong tanpa arah tuju.
Kata ‘tidak’ kepada kawan tak berduit
Penulis bukannya mengajar anda untuk membuang kawan tetapi perlu fokus dengan apa yang kita mahukan. Jika sudah memulakan bisnes secara kecil-kecilan, anda mungkin tidak sedar ada kalanya anda meluangkan masa berlebihan dengan hanya berborak dengan rakan. Perbuatan ini tidak salah tetapi bagi pendapat pakar, situasi ini perlu dikurangkan khususnya bagi peniaga baru.
Dalam bahasa mudahnya, golongan yang kurang berkepentingan khususnya tidak berduit dan hanya cakap kosong ini bukan potensi pelanggan anda. Kebanyakan mereka tidak mempunyai kemahuan untuk membeli produk yang anda jual di Facebook. Dalam situasi ini, apa kata ketepikan seketika kawan yang tidak berduit.
Jangan buang terus cuma fahami istilah ‘berehat seketika dan berhubung kembali apabila berjaya.’ Setiap hari, fokus dan sentiasa ingatkan diri untuk menambah rakan Facebook yang berpotensi iaitu mereka yang mempunyai kemampuan untuk membayar anda dengan membeli produk yang ditawarkan.
Sentiasa fikir untung
Mungkin hanya segelintir yang sedar hal ini tetapi penulis percaya majoriti kita alpa dan tidak tahu mengenai hakikat ini. Tahukan anda, apabila menaip e-mel dan kata laluan untuk memasuki laman sosial Facebook, kita mempunyai dua pilihan jelas tanpa kita sedari iaitu ingin menjadi orang yang untung atau sebaliknya.
Untuk menjadi orang yang rugi, jalannya cukup mudah. Hanya gunakan Facebook sebagai alat untuk bertanyakan khabar, borak santai, salam perkenalan untuk gadis dan jejaka baru menjadi kawan. Pilihan kedua pula adalah dengan memaksimumkan gaya fikir terarah kepada keuntungan setiap kali memasuki halaman Fb.
Mungkin bunyinya remeh tetapi untuk memulakan sesuatu yang berimpak besar, perlu diselidik daripada perkara kecil dan remeh seperti ini. Gaya fikir ini akan mendorong kita untuk mencari pelanggan, berhubung dan seterusnya bekerjasama sehingga ada antara mereka menjadi pelanggan setia anda.
Hati-hati dengan samseng Fb
Perlu sentiasa berhati-hati dan jangan terlalu bebas dalam laman sosial ini kerana jaringan hubungan manusianya tidak banyak beza daripada kehidupan realiti. Membabitkan diri dalam kumpulan Facebook tertentu tidak bermakna anda mempunyai kebebasan untuk mempromosikan produk secara membabi buta. Ini adalah kesilapan kritikal yang berlaku dalam komuniti. Perlu tahu wujudnya samseng di mana-mana walaupun di alam maya.
Ibarat berada dalam rumah orang lain, kita bertanggungjawab untuk meminta kebenaran sebelum melakukan sesuatu di dalam kumpulan yang disertai. Di Facebook, anda boleh mulakan dengan berkongsi maklumat bermanfaat berkaitan produk. Tetapi ingat! Jangan berlebih-lebih sehingga muat naik maklumat produk anda setiap jam di situ.
Jangan biarkan ‘Abang Kawasan’ kumpulan Facebook itu menyampah dengan anda. Ada pepatah moden berbunyi, ‘Sekali menyampah, selama-lamanya dianggap sampah.’
Jaga geng sendiri
Bagi anda berstatus peniaga yang memilih Fb sebagai landasan utama, maklumat ini penting untuk anda! Kumpulkan pelanggan ataupun rakan yang berpotensi menaikkan jenama anda dan wujudkan kumpulan komuniti Facebook eksklusif disertai golongan ini.
Kumpulan komuniti ini boleh dianggap seperti hab dan dijadikan pusat untuk anda berhubung selain mengeratkan diri dengan pelanggan.
Di sini, anda boleh mengemas kini dan muat naik apa saja maklumat berkaitan produk anda untuk pengetahuan mereka. Pastikan memilih potensi pelanggan yang terbaik kerana di sebalik kewujudan mereka, ada cabang lain mampu meluaskan lagi pasaran jenama anda.
Lebih aktif kita di kumpulan sendiri, lebih banyak duit yang berpotensi masuk ke dalam akaun anda. Fikirkan dan pilih jalan mana yang terbaik boleh anda praktikkan untuk menjadi peniaga muda Fb yang terkenal di seluruh dunia kelak.
0 comments:
Post a Comment