Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, June 27, 2014

TUNKU ISMAIL MAHU BOLA SEPAK KEMBALI GEMILANG


Presiden Perbadanan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyerahkan Piala Liga Super kepada ketua pasukan Johor Darul Ta'zim I Mohd Aidil Zafuan pada majlis meraikan kejayaan Johor Darul Ta'zim Menjuarai Liga Super 2014 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin di Johor Bahru hari ini. - Foto Bernama

JANJI Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk mengembalikan kegemilangan rakyat Johor dalam arena bola sepak kini telah terbukti dengan kejayaan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) merangkul gelaran Liga Super.

"Pada 4 September dua tahun lalu, seorang anak muda berusia 27 tahun berjanji di padang ini untuk membawa kembali zaman kegemilangan bola sepak Johor," titahnya pada majlis penyerahan Piala Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini, malam tadi.

Baginda, selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, turut menyatakan rasa bangga dan penghargaan kepada pasukan JDT atas kesungguhan para pemain untuk memastikan kemenangan berpihak kepada JDT.

Penyerahan Piala Liga Super disempurnakan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin kepada Tunku Ismail yang kemudian diserahkan kepada kapten pasukan, Aidil Zafuan Razak sambil disaksikan oleh kira-kira 30,000 penonton yang memenuhi stadium.

Setelah itu, pertunjukan bunga api bermula sebaik sahaja kapten pasukan menjulang Piala Liga Super sebelum pasukan itu berarak sekeliling stadium sambil membawa piala untuk dipertontonkan kepada peminat-peminat JDT.

Tunku Ismail turut dijulang oleh pemain-pemain sebanyak tiga kali tanda kegembiraan mereka berjaya membawa pulang piala kali ini.

Sebagai juara Piala Liga Super, JDT secara automatik layak mewakili Malaysia menyertai kejohanan bola sepak Asia (Piala AFC) 2015.

Pada sidang media di sini, Aidil Zafuan berkata kejayaan hari ini adalah permulaan bagi JDT.

"Sasaran kita tahun ini untuk dapat satu piala telah berjaya. Seterusnya, kita akan menumpukan perhatian kepada misi untuk memburu Piala Malaysia pula," katanya.

Pemain akan berehat selama 10 hari sebelum kembali memulakan latihan bagi persiapan menghadapi saingan Piala Malaysia, September ini.

0 comments:

share2