Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 21, 2014

PENDUDUK DAKWA PEMAJU CEROBOH TANAH

Kuantan - Sekumpulan 10 penduduk di kawasan Bukit Rangin di sini mendakwa pemaju perumahan yang sedang melaksanakan projek pembinaan lebih 400 unit rumah telah menceroboh tanah milik mereka.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Panching Datuk Mohd Zaili Besar yang menerima aduan itu, hari ini meninjau kawasan projek tersebut bersama-sama wakil beberapa agensi kerajaan termasuk Pejabat Daerah dan Tanah serta Jabatan Pengairan dan Saliran.

"Saya difahamkan masalah berpunca daripada pemaju yang telah membangunkan kawasan perumahan melangkaui sempadan sehingga menceroboh tanah penduduk yang terlibat.

"Kita telah merujuk perkara ini kepada Jawatankuasa Teknikal Majlis Perbandaran Kuantan dan masalah berkenaan akan diteliti oleh pihak yang berkenaan," katanya kepada pemberita di tapak projek perumahan itu di sini.

Menerusi tinjauan itu, beliau berkata beberapa aspek pembinaan di situ didapati tidak menepati ciri-ciri ditetapkan dan ada yang masih belum mendapat kelulusan.

"Kita risau pembinaan tanpa mengikut ciri-ciri yang ditetapkan boleh mengundang masalah banjir di kawasan sekitar pada masa-masa akan datang," katanya.

0 comments:

share2