Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, June 27, 2014

PELAJAR RABIT TELINGA KIRI DIGIGIT 'SUAREZ'


Tambun: Umpama meniru aksi Luis Suarez! Seorang pelajar Tingkatan Satu, rabit pada telinga kiri akibat digigit rakan sekelas, yang berang susulan salah faham di antara mereka. 

Dalam kejadian jam 5 petang Isnin itu, mangsa bukan setakat berdarah di telinga, tetapi turut lebam tubuh badan akibat ditumbuk rakan berkenaan. 

Pergelutan berlaku selepas mangsa bertanyakan rakannya, sama ada membaling pen ke arahnya, tetapi pertanyaan itu menimbulkan kemarahan rakan terbabit yang kemudian mengajak mangsa bertumbuk. 


Mangsa dikejar 

Mangsa yang takut, menjauhkan diri tetapi tindakan itu menyebabkan remaja berkenaan mengejar sebelum menolaknya hingga terjatuh sebelum menumbuknya berulang kali. 

Selain menumbuk pada badan dan kepala, suspek bertindak lebih ganas apabila menggigit telinga kiri mangsa hingga berdarah. Mangsa tidak berani melawan kerana bimbang dipukul lebih teruk. 


Bapa buat laporan polis 

Bapa mangsa yang mengetahui kejadian itu selepas sesi persekolahan, membawa anaknya membuat laporan di Balai Polis Tambun, kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria, berkata pihaknya masih belum menerima sebarang laporan mengenai pergaduhan itu. 

Beliau menyifatkan pergaduhan sebagai kes disiplin di peringkat sekolah yang perlu ditangani oleh pengurusannya dengan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelajar terbabit mengikut peraturan sedia ada.

0 comments:

share2