Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 26, 2014

JALAN SELAMAT -ROMBAKAN KABINET



SHAH ALAM - Penambahan anggota Kabinet bukannya rombakan seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini menunjukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memilih jalan yang selamat.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohammad Agus berkata, Najib sewajarnya mempertimbangkan pertukaran beberapa menteri Kabinet yang dilihat kurang cekap menjalankan portfolio masing-masing untuk digantikan dengan menteri Kabinet yang baharu.

“Ini merupakan tindakan strategik PM kerana tidak merubah kedudukan Kabinet yang ada. Bila menteri kekal, maka tidak tergoncang kedudukan politik kerajaan.

“Sepatutnya, telah sampai masanya beberapa menteri ditukar ke kementerian lain atau digugurkan, tetapi itu tidak berlaku.

“Dengan pengumuman tadi, tentunya menteri yang sejak seminggu dua ini tidak lena tidur boleh bernafas lega.

“Apa-apa pun, walau tiada rombakan, harapan saya, setelah nafasnya tidak lelah lagi, tengoklah rakyat dan bekerjalah untuk rakyat,” katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Agus berkata demikian bagi mengulas pengumuman rombakan Kabinet oleh PM pada tengah hari tadi.

Sementara itu, menurut Ketua Kluster Perpaduan Nasional Majlis Profesor Negara Profesor Dr Mansor Mohd Nor, rombakan tersebut menunjukan Barisan Nasional masih berpegang teguh dengan semangat kebersamaan mereka selama ini.

“Budaya perkongsian dan permuafakatan diteruskan oleh PM dalam merombak Kabinet hari ini.

“PM telah membawa ke arah pembangunan negara bangsa yang inklusif.

“Iaitu satu budaya keterangkuman, di mana terasnya Melayu, tetapi kepelbagaian etnik tetap berada bersama dalam satu pasukan,” katanya.

Dalam pada itu ketika diminta untuk menyentuh mengenai tiada perubahan yang berlaku dalam rombakan Kabinet hari ini, Mansor menjelaskan jika BN masih ingin mengekalkan kuasa, rombakan hari ini perlu dirubah semula pada masa akan datang.

“Saya tidak melihat ini barisan Kabinet bayangan Pilihan Raya Umum-14.

“Kenapa tiada generasi muda dalam barisan Kabinet tersebut, sepatutnya rombakan hari ini perlu menampilkan generasi 'Y’dalam barisan tersebut,” katanya.

Rombakan Kabinet hari ini menyaksikan enam penambahan baru menteri Kabinet iaitu Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dilantik sebagai menteri memegang portfolio Menteri Pengangkutan; Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Naib Presiden MCA, Senator Datuk Lee Chee Leong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Naib Presiden MCA, Datuk Chua Tee Yong sebagai Timbalan Menteri Kewangan; Naib Presiden MCA, Senator Datin Seri Paduka Chew Mei Fun sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat dan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Keenam-enam menteri Kabinet ini akan mengangkat sumpah pada Jumaat ini, jam 11.30 pagi di Istana Negara.



0 comments:

share2