Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 20, 2014

RIOT: TIADA SEBAB SAYA PERLU TINGGALKAN SUPP




Kuching - Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Richard Riot Jaem hari ini berkata tiada sebab baginya meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras).

Kata Riot walaupun empat wakil rakyat telah keluar daripada SUPP untuk menyertai Teras minggu lepas, beliau tidak nampak tempat untuknya dalam parti baharu itu sekiranya beliau dipelawa berbuat demikian.

"Kenapa saya perlu meninggalkan kedudukan saya sekarang untuk menyertai Teras, sedangkan saya tidak tahu apa yang ada di sana (dalam Teras) untuk saya?" katanya kepada pemberita di sini.

Menteri Sumber Manusia itu berkata, sebagai anggota kabinet persekutuan, beliau akan patuh kepada nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

"Saya perlu patuh kepada bimbingan (keputusan) Perdana Menteri. Saya seorang menteri dan saya hanya beri tumpuan kepada tugas saya sebagai menteri. Saya perlu menjaga seluruh negara," katanya.

Jumaat lepas, bekas Penolong Setiausaha Agung SUPP Datuk Seri Wong Soon Koh keluar daripada parti itu untuk menyertai Teras bersama tiga Adun - Dr Jerip Susil (Bengoh), Dr Johnical Rayong (Engkilili) dan Ranum Mina (Opar).

Keputusan Wong meninggalkan SUPP berikutan perbalahan beliau selama tiga tahun mengenai kepimpinan parti itu dengan Presidennya Tan Sri Peter Chin Fah Kui.

0 comments:

share2