Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 6, 2014

JENAZAH AZIZ SATTAR SELAMAT DIKEBUMIKAN




Kuala Lumpur - Jenazah pelakon filem legenda Datuk Abdul Aziz Sattar, 89, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tun Hussein Onn, Cheras Perdana di sini petang ini.

Sebelum itu, jenazahnya disembahyangkan di Surau Al-Amin, Bandar Tun Hussein Onn, di sini, pada 1.45 tengah hari.

Suasana pilu menyelubungi majlis pengebumian itu dengan rakan artis dan saudara-mara Allahyarham hadir memberi penghormatan terakhir kepada pelakon legenda yang memartabatkan dunia filem Melayu.

Semasa hayatnya, Allahyarham memperjuangkan nasib pelakon veteran melalui kedudukannya sebagai pengerusi Yayasan Artis Veteran Malaysia.

Anak perempuannya, Sandakiah, 46, seorang suri rumah, berkata bapanya dimasukkan ke Hospital KPJ, Kajang, Ahad lepas dan menghembuskan nafas terakhirnya di sisi empat orang anggota keluarganya setelah tidak sedarkan diri pada pukul 2 pagi.

"Kebelakangan ini bapa kurang selera makan, namun masih tetap juga menghadiri apa jua program berkaitan artis veteran," katanya ditemui pemberita di kediamannya di Bandar Tun Hussein Onn, di sini.

Sandakiah, berkata Allahyarham tinggal dengan keluarganya sejak dua tahun lepas.

Abdul Aziz meninggalkan tujuh orang anak, 20 cucu dan 10 cicit.

Adik Allahyarham, Zaini Sattar, 80, berkata beliau bertolak dari Tampines, Singapura pukul 4 pagi tadi bersama anggota keluarga Abdul Aziz termasuk dua adik perempuannya.

"Saya sudah tergerak hati mahu menziarah Allahyarham semalam lagi, saya hubungi abang mahu ke Kuala Lumpur, tetapi arwah menegah dengan mengatakan beliau sihat-sihat aje.

"Sehinggalah saya menerima panggilan pukul 1.50 pagi dari Sandakiah mengatakan arwah sudah nazak dan tdak sedarkan diri," katanya yang terkilan kerana tidak sempat bertemu dengan abangnya lebih awal.

0 comments:

share2