Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 1, 2014

DUA LELAKI DICARI




Mersing – Polis sedang mencari dua individu yang dipercayai boleh membantu siasatan kes pecah masuk sebuah stesen minyak di Kilometer 43 Jalan Kota Tinggi-Mersing berhampiran simpang Felda Tenggaroh, 3 Februari lalu.

Orang ramai diminta tampil menyalurkan maklumat sekiranya mengenali dua lelaki yang dikenali sebagai Sopi @ Bebek, 23, yang alamat terakhirnya di No 40, Felda Tenggaroh 5, di sini dan Botak, 24, yang alamat terakhir di No. 6, Tingkat 1, Blok 50, Taman Cendana, Pasir Gudang, Johor.

Kejadian itu tersebut dipercayai turut membabitkan tiga individu lain berusia lingkungan 25 hingga 26 tahun yang berjaya ditahan hasil risikan pihak polis yang membawa kepada penemuan wang tunai berjumlah RM1,100, tiga beg sandang, 16 telefon bimbit, sebuah Galaxy Tab dan sebuah external hardisk.

Turut ditemui lima paket dadah jenis syabu yang dimiliki oleh salah seorang suspek yang diberkas dan ketiga mereka didapati positif dadah jenis metafetamin.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Zulkepli Hashim, berkata, suspek telah masuk ke dalam bilik pengurus stesen minyak berkenaan kira-kira jam 2.09 pagi sebelum bertindak membuka peti besi dan melarikan wang tunai berjumlah RM128,000.

“Suspek dipercayai telah memasuki stesen minyak berkenaan melalui cermin hadapan yang dipecahkan yang dipercayai menggunakan objek keras.

“Hasil penelitian melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak berkenaan mendapati dua daripada mereka memasuki premis terbabit dan mengambil masa hanya tiga minit untuk melarikan sejumlah wang tunai yang disimpan di dalam peti besi yang dibuka
dengan kunci namun tidak menggeledah mesin juruwang,” katanya ketika sidang media di IPD Mersing, semalam.

Orang awam yang mengenali atau mengetahui lokasi terkini suspek berada boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Aniyah Ismail di talian 013-9792526 atau Bilik Gerakan IPD Mersing 07-7993507.

0 comments:

share2