Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 16, 2014

BERAKIT TARIK PELANCONG ASING





Temerloh - Kerajaan negeri akan menjadikan acara berakit di Sungai Pahang sebagai produk baru pelancongan negeri ini bagi menambah tarikan sedia ada sekali gus dapat menarik lebih ramai pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin berkata, program berakit yang biasanya diadakan setiap tahun akan menjadi lebih kerap selepas ini berdasarkan permintaan pelancong.

Menurutnya, satu badan khas akan ditubuhkan bagi membincangkan kaedah pelaksanaannya membabitkan kerjasama antara agensi dan jabatan kerajaan bersama pihak swasta.

“Kita akan kenal pasti pakej menarik yang boleh ditawarkan kepada pelancong terbabit yang boleh berakit dalam tempoh tiga atau empat hari dan singgah di kawasan kampung tertentu yang menawarkan aktiviti kebudayaan setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Menteri Besar merasmikan Kembara Berakit Sungai Pahang 2014 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bermua 14 hingga 17 Mei di Dataran Esplande Temerloh, semalam.

Turut hadir, Adun Jenderak Datuk Mohamed Jaafar; Timbalan Ketua Pengarah JKNN, Mesran Mohd Yusof; Pegawai daerah, Datuk Tarif Abdul Rahman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh, Syed Mohd Nor Syed Jaafar.

Program disertai 210 peserta dari pengunjung tempatan dan antarabangsa bermula dari Dataran Esplanade Temerloh menuju ke Guai, Bera sejauh 32 kilometer dan terus ke Kampung Batu Bor, Bera sebelum ke Jeti lama Chenor pada hari terakhir.

Mohd Sharkar berkata, sektor pelancongan boleh menjana pendapatan menerusi aktiviti di sungai seperti yang dilakukan negara Asean lain seperti di Vietnam, Thailand dan Indonesia dan sudah tentu ia boleh dimajukan di Sungai Pahang.

Mohd Sharkar berkata, program berakit diadakan bertujuan mempromosikan masakan Melayu tradisional, mengenali budaya dan adat resam selain menikmati pemandangan flora dan fauna di sepanjang perjalanan.

Beliau berkata, apabila permintaan dalam kalangan pelancong semakin meningkat selepas ini lebih banyak pakej menarik seperti penginapan di inap desa, memancing dan sebagainya akan diselitkan dalam aktiviti pelancong tersebut.

0 comments:

share2