Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 28, 2014

TPP: PM JANGAN GOPOH, KATA MTEM




Kuala Lumpur – "Jangan gopoh," demikian nasihat yang disuarakan Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (MTEM) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mengambil keputusan terhadap perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Pemegang Amanah Tetap MTEM, Rizal Faris Mohideen berkata, melalui pertemuan dengan empat wakil Amerika Syarikat (AS), hari ini, apa yang dapat disimpulkan adalah perjalanan perbincangan TPP itu masih terlalu jauh.

“...selepas perbincangan hari ini... (Najib) jangan gopoh dalam membuat sebarang keputusan. Hasil perbincangan hari ini sangat jelas bahawa masih jauh perjalanan yang harus dilalui andai kita mahu menandatangani perjanjian yang situasi menang menang kepada kedua-dua pihak dan untuk rakyat Malaysia

“Kalau ia tak memberi manfaat kepada rakyat, kenapa nak teruskan? Untuk generasi akan datang. Ini yang kita pentingkan,” katanya kepada Sinar Harian Online di sini, semalam.

Sementara menurut Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Mohd Nizam Mahshar, Najib perlu menolak perjanjian TPP sama seperti Perjanjian Am mengenai Tarif dan Perdagangan (GATT), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) jika ternyata ia memberi impak negatif kepada negara.

“Kalau tak bagus, kita perlu buat keputusan itu (berundur daripada TPP). Sama seperti GATT, WTO dan FTA.

“Kita telah berdagang dengan AS sejak sekian lama. AS adalah perdagangan penting untuk kita,” katanya.

Mengulas lanjut, AS tidak boleh mengetepikan soal isu domestik di negara ini meskipun mereka berhasrat untuk meningkatkan standard perdagangan dengan Malaysia.

“Hasrat mereka dalam TPP itu adalah untuk meningkatkan standard perdagangan, tapi mereka tak boleh sama sekali mengetepikan isu domestik. Contoh jurang ekonomi, pembangunan industri-industri yang relatifnya kecil dan sebagainya.

“Jadi, semua itu memerlukan masa untuk dibangunkan. Majoriti rakyat berpendapatan rendah. Kita mahu perkara-perkara tersebut diambil kira termasuk soal perubatan. Andai kata berlaku kenaikan harga, implikasinya cukup besar,” katanya.

Ketika sama ada MTEM tetap menentang perjanjian TPP ini, Mohd Nizam menegaskan, “dengan status sekarang, tanpa maklumat yang cukup, ya (kami menentang TPP).”

0 comments:

share2