Muar – Lawatan selama tiga hari Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama ke Malaysia sejak kelmarin, bukan mendesak negara menandatangani perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).
Sebaliknya, kunjungan itu dilihat sebagai usaha memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia-AS.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, perjanjian itu tidak akan dimeterai hanya kerana kedatangan pemimpin nombor satu AS itu ke negara ini.
“Perkara itu (TPP) tidak ada dalam jadualnya (Obama) atau lawatan ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).
“Lawatan Obama begitu padat dengan beliau (Obama) menghadiri sambutan majlis di Istana Negara dan difahamkan merasmikan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (Magic) di Cyberjaya kemudian ke Pusat Islam,” katanya selepas merasmikan Pusat Maklumat Diabetes Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), semalam.
Beliau mengulas dakwaan sesetengah pihak mengatakan lawatan Obama ke negara ini untuk mendesak Malaysia menandatangani TPP.
Razali berkata, bukti kerajaan tidak berbuat demikian akan ditunjukkan selepas Obama pulang dari lawatannya ke Asia.
“Kita tengok seminggu selepas Obama pulang, adakah kita akan tandatangani TPP? Jika tidak berlaku (tidak tandatangani perjanjian), apa orang yang gembar-gemburkan isu ini (TPP) nak bagi alasan?
“Kita sudah runding perkara ini empat tahun lalu dan saya pun tidak setuju jika TPP ditandatangani hanya kerana lawatan Obama,” katanya.
Beliau berkata, rakyat perlu melihat lawatan itu dari sudut positif untuk mengembangkan potensi kedua-dua negara dalam pelbagai bidang.
0 comments:
Post a Comment