Pulau Tioman - Cadangan supaya diwujudkan pusat internet 1Malaysia di Pulau Tioman sedang diusahakan bagi memberi manfaat dan kemudahan kepada penduduk dan pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atas permintaan penduduk dan pelancong.
"Saya meminta SKMM melihat perkara ini dalam masa sebulan ini agar semua mereka yang tinggal dan datang ke Tioman dapat menggunakan perkhidmatan internet dengan meluas," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia peringkat negeri di Kampung Tekek di sini..
Katanya kewujudan pusat internet itu akan memberi kemudahan kepada kira-kira 3,000 penduduk di pulau peranginan ini.
"Saya difahamkan setiap hujung minggu, Pulau Tioman menerima lebih 1,000 pelancong yang datang ke lima buah kampung di pulau ini, dan ini menunjukkan Tioman masih menjadi destinasi popular pelancong asing," katanya.
Sementara itu, Shahaniza berkata program bersepadu yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lepas itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar pulau tersebut dan pelancong.
Antara aktiviti diadakan pada program itu adalah aktiviti riadah, ceramah agama dan penerangan tentang isu-isu semasa.
0 comments:
Post a Comment