Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 26, 2013

DESTINASI LAMA PERLU PERUBAHAN


KUANTAN – Seluruh warga kerja termasuk penggiat dan agensi berwajib pelancongan negeri disaran agar terus memperkasakan sektor pelancongan menerusi idea dan kaedah baru sekali gus dapat memastikan industri ini bertambah baik dalam usaha menarik lebih ramai pelancong dari masa ke semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Datuk Mohd Sharkar Samsuddin berkata, perancangan tersebut juga dapat membantu usahawan dalam sektor pelancongan ini untuk menaik taraf pusat pelancongan sedia ada agar pelancong masih terdorong untuk terus datang membuat lawatan.

“Pada tahun lepas, Pahang menerima kunjungan sekitar 2.9 juta pelancong antarabangsa dan 6.8 juta pelancong domestik serta dianggarkan mereka telah berbelanja RM6.5 bilion hanya untuk negeri ini.

“Justeru, destinasi pelancongan utama dan sedia ada seperti contoh Cherating, Taman Negara, Pulau Tioman dan Cameron Highlands antara destinasi lama perlu melalui perubahan dalam usaha mengekalkan daya tarikan buat pelancong.

“Jelas sekali pusat pelancongan negeri ini mempunyai potensi sekiranya pihak yang terlibat mempunyai banyak usaha baru yang dirangka untuk mencergaskan lagi industri memandangkan ia mampu memberi kesan yang cukup baik bukan sahaja kepada ekonomi negeri malah secara tidak langsung kepada penduduk tempatan.

Beliau berkata dalam ucapan perasmiannya di Seminar dan Bengkel Pelan Tindakan Pelancongan Negeri Pahang, di Bukit Gambang Resort, dekat sini.

Menurutnya, negeri Pahang pada masa ini mempunyai sebanyak 467 buah hotel dengan kira-kira 26,095 buah bilik penginapan pelbagai jenis.

“Kita sedia maklum bahawa kadar penginapan adalah berbeza mengikut destinasi dan cabaran untuk memenuhi bilik-bilik ini harus ditangani melalui cara manfaatkan semaksimumnya agar kita dapat merangka satu ‘Way forward’ yang jelas dan memberi kejayaan di masa depan.

“Kita mungkin harus mengenal pasti produk-produk baru dalam bentuk acara-acara menarik, tarikan baru, aktiviti dan sekali gus menghidangkannya dalam pakej dan suasana yang lebih menarik,” katanya.

Sementara itu, katanya, eko-pelancongan turut akan terus menjadi fokus utama pelancongan negeri Pahang yang mana masing-masing mempunyai keunikan tersendiri.

“Kita juga telah bersetuju untuk mengetengahkan kawasan Gua Merapoh yang turut dikenali sebagai “Caving Paradise of Malaysia”.

“Di anggarkan bukit-bukit batu kapur Merapoh mempunyai lebih 500 buah gua yang belum diterokai dan  telah mula menarik pelancongan Eropah seperti United Kingdom, France, Jepun, Jerman dan Crotia," katanya.

0 comments:

share2