Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 27, 2013

TERMINAL SENTRAL KUANTAN - MERCU TANDA BAHARU


KUANTAN - Terminal Sentral Kuantan di bandar Indera Mahkota di sini, merupakan salah satu lagi mercu tanda baharu kemajuan pesat bandar Kuantan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Zulkifli Yaacob berkata, sejak memulakan operasi awal bulan lalu terminal itu telah mendapat reaksi positif daripada orang ramai.

Beliau berkata, ini kerana, jika dibandingkan dengan stesen bas lama Terminal Makmur di bandar Kuantan, terminal di Indera Mahkota memberi keselesaan yang lebih baik kepada pengguna.

“Sejak memulakan operasi, kita memantau setiap hari bagi memastikan tiada masalah timbul. Saya sendiri ada bertanya kepada orang ramai dan mereka memberikan reaksi positif.

“Ini kerana kemudahan disediakan di terminal baharu itu jauh lebih bagus daripada terminal lama dan apa yang penting memudahkan orang ramai untuk membeli tiket dan menaiki bas," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Terminal bernilai RM438 juta itu menyediakan sebanyak 400 petak letak kereta, 170 ruang motosikal dan 40 untuk teksi, selain ruang tempat menunggu bas berhawa dingin untuk orang ramai.

Terminal dua tingkat yang mula dibina pada Jun 2011 itu menyediakan 48 kaunter bas bagi menggantikan Terminal Makmur.

Zulkifli berkata, ruang menunggu di terminal baharu itu juga memberi keselesaan kepada orang ramai yang tidak akan terdedah kepada asap rokok mahupun asap kenderaan.

“Terminal ini turut mempunyai ciri-ciri keselamatan dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) selain kaunter-kaunter khas untuk MPK, Jabatan Pengangkutan Jalan dan agensi lain," katanya.

Beliau berkata, pemilihan lokasi di Indera Mahkota juga membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar Kuantan terutama kawasan berdekatan Stadium Darul Makmur.

Dalam pada itu, katanya, beliau telah berjumpa pemandu teksi yang nyata begitu gembira dengan rezeki diperoleh mereka sejak terminal baharu tersebut dibuka.

Beliau berkata, pembinaan terminal tersebut merupakan transformasi pengangkutan awam bagi mencapai status negara maju dan keberkesanannya membolehkan rakyat di bandar serta luar bandar menikmati hidup lebih selesa.

“Perkhidmatan pengangkutan awam yang berkesan dan selesa membantu meningkatkan indeks kesejahteraan hidup rakyat di bandar ini," katanya.

1 comments:

  • Unknown says:
    July 19, 2016 at 2:32 PM

    Saya tinggal di luar negeri pahang, Setiap kali turun dari bas di Terminal Kuantan, pemendangan menjengkelkan jelas kelihatan. Sebagai pintu masuk sepatutnya pihak berkuasa tempatan memastikan ruangmenunggu kereta datang mengambil penumpang mencukupi, sudah lah ruang kereta mengambil penumpang sempit, satu lorong je di buka. kerusi utuk duduk pon berkurangan.
    apa terjadi jika yang turun bas tu ibu muda ngan ramai anak? Puaslah menjerit jerit supaya anaknya duduk diam. Dah lah panas, bau asap janagn ceritalah.
    Bila di tanya, katanya pihak kerajaan tempatan tak cukup stap nak pantau llaulintas....... Lawak kan......

share2