KUANTAN - Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menubuhkan skuad khas untuk mengesan mana-mana umat Islam di negeri ini yang didapati makan dan minum secara terbuka pada bulan Ramadan nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas negeri, Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, skuad itu akan menjalankan rondaan di lokasi-lokasi tertentu termasuk premis makanan yang melakukan perbuatan tersebut.
"Mereka yang didapati bersalah kerana gagal menjalankan ibadah itu akan dikenakan tindakan tegas seperti termaktub di bawah undang-undang syariah JAIP," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tegasnya, tindakan serupa akan diambil terhadap mana-mana premis makanan yang didapati menjual makanan serta minuman kepada umat Islam kerana mereka turut bersuhabat melakukannya.
Sementara itu, tentang penggunaan shisha di negeri ini, Syed Ibrahim berkata, perkara tersebut tidak perlu menunggu fatwa sekiranya membawa keburukan terhadap pengguna.
"Kita bersetuju dengan tindakan kerajaan Perlis membendung perkara itu. Pada pandangan saya, pendidikan awal terhadap pengguna perlu diberikan supaya mereka mengetahui kesannya sebelum penguatkuasaan dilakukan," ujarnya.
Menurutnya, masalah yang berlaku terhadap penggunaan itu mungkin disebabkan terdapat segelintir pihak membuat pengubahsuaian peralatan shisha dengan menggunakan dadah, sekali gus memberikan kemudaratan kepada pengguna.
0 comments:
Post a Comment