Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, June 24, 2013

KUANTAN : JAIP TERUS PANTAU AJARAN SESAT



Usaha membanteras ajaran dan fahaman sesat termasuk Syiah terus menjadi keutamaan kepada pihak berkuasa agama negeri ini bagi memelihara akidah seluruh umat Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas negeri, Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, soal akidah tidak boleh dikompromi dan sebab itu pihak berkuasa serius menangani sebarang bentuk pengembangan ajaran yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

"Dalam taklimat Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) kepada saya kelmarin, mereka mempunyai unit khas yang sentiasa celik dan mempunyai inisiatif bagi membanteras sebarang ajaran yang bercanggah dengan akidah Islam.

"Tak kiralah Al-Arqam, Syiah, Tuhan Harun atau sebagainya, apa sahaja yang tidak bertepatan dengan ASWJ dan mazhab Shafie, kita akan tangani. Akidah tidak boleh ambil mudah bagi menjaga masa depan generasi muda kita," katanya kepada pemberita di pejabatnya.

Bagaimanapun katanya, ancaman akidah di Pahang secara umumnya tidak berlaku secara serius namun ini bukan bermakna pihak berkuasa boleh leka dalam isu ini.

"Cubaan membawa fahaman salah ini sentiasa ada walaupun tidak agresif seperti suatu ketika dulu. Mereka ini saya tengok cuba menggunakan strategi mendampingi orang yang berpengaruh dan kaya.

"Namun JAIP cepat mengesan gerakan mereka seperti yang dibuktikan dalam menangani kes kumpulan pengikut Tuhan Harun baru-baru ini.

"Begitu juga Syiah, satu ketika cuba masuk ke negeri ini, tetapi JAIP cepat beri penerangan di lokasi sasaran mereka seperti pusat pengajian, masjid dan kampung," jelasnya.

Tambah Syed Ibrahim, ini dapat dilakukan kerana JAIP mempunyai struktur yang lengkap bagi menangani isu ini walaupun pada masa sama diakui ruang untuk menambah baik sentiasa perlu diusahakan.

"Orang yang bawa ajaran sesat ini sentiasa cari peluang, jadi ini cabarannya kepada kita," tegasnya.

0 comments:

share2