Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 30, 2013

RapidKuantan Mengenakan Tambang Murah


KUANTAN - Perkhidmatan bas RapidKuantan yang memulakan operasi 1 Disember lalu akan mula mengenakan tambang ke atas penumpang mulai Sabtu ini selepas tempoh perkhidmatan percuma berakhir Jumaat ini.

Ketua Eksekutif Bas Rapid Sdn. Bhd., Zohari Sulaiman berkata, tambang akan bermula daripada RM2 untuk perjalanan dalam zon tunggal dan maksimum sebanyak RM4 untuk perjalanan merentasi dua zon.

Menurut beliau, daripada sebanyak 12 laluan yang dilalui bas RapidKuantan hanya lima sahaja yang akan melaksana sistem tambang dua zon.

"Laluan terbabit adalah laluan 100, Hentian Bandar-Bukit Gambang Resort City (BGRC); laluan 301 Hentian Bandar-Bukit Sagu; laluan 400 Hentian Bandar-Pekan; Laluan 401 Hentian Bandar-Kampung Ubai dan laluan 500 Hentian Bandar-Sungai Lembing.

"Yang selebihnya iaitu tujuh laluan hanya mengenakan bayaran RM2 bagi setiap perjalanan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kanak-kanak di bawah umur tujuh tahun tidak dikenakan bayaran manakala pelajar yang berpakaian seragam sekolah serta berumur tujuh hingga 12 tahun akan dikenakan separuh harga.

"Selain itu, turut mendapat diskaun 50 peratus ialah warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU)," jelasnya.

Zohari memberitahu, warga emas, OKU dan pelajar boleh mendaftar dengan pihaknya untuk mendapat kad diskaun di tingkat satu Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan di sini.

"Kami membuka perkhidmatan bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang dari hari Isnin hingga Sabtu kecuali pada hari cuti umum," katanya.

Tambahnya, pemegang kad diskaun hanya perlu menunjukkan kad mereka kepada pemandu bas untuk menikmati diskaun sebanyak 50 peratus.

"Saya nasihatkan penumpang sentiasa mempunyai jumlah wang yang tepat bagi memudahkan urusan pembayaran tambang," katanya.

0 comments:

share2