Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 28, 2013

Anwar Pelopor Budaya Ganas Malaysia


TINDAKAN Anwar Ibrahim menentang undang-undang dan peraturan yang lazim terpakai dalam negara demokrasi adalah suatu jalur anarki. Anarki adalah suatu konsep bertindak di luar batas demokrasi.

Apabila proses demokrasi tidak menyebabkan hala tuju perjuangan peribadinya tercapai jalan yang dipilih bukan demokrasi peti undi tetapi bertukar menjadi demonstrasi jalanan. Sifat anarki ini adalah disorderly.

Fahaman pasca-modenisme antara lain menolak otoriti, baik otoriti sesebuah kerajaan sedia ada mahupun otoriti agama. Dari sebuah kerajaan yang beraja ingin ditukar kepada kerajaan republik. Dari sebuah otoriti yang berasaskan agama dan sistem nilai ingin ditukar kepada sebuah kehidupan yang berasaskan hak asasi tanpa dukungan agama.

Ia juga menolak hiraki. Dari kehidupan sebuah keluarga yang ada ibu, ayah dan anak kepada suatu pola kekeluargaan berasaskan pola gay dan lesbian. Lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menjadi sesuatu yang sudah diperundangkan di Barat dan bakal mencabar kehidupan kekeluargaan masyarakat beragama termasuk di Malaysia.

LGBT sedang diperjuangkan oleh pihak tertentu di Malaysia. Bermula dengan fahaman liberalisme agama kemudian kepada pluralisme agama dan kemudian kalimah Allah dan kalimah-kalimah lain boleh digunakan oleh agama lain dan akhirnya arah fahaman agama akan bercelaru dan melahirkan generasi yang keliru. Lalu orang akan mempertikaikan hadirnya agama dalam kehidupan dan memilih hidup tanpa agama atau memang agama dilihat sebagai penghalang kemajuan.

Anwar sejak zaman mudanya di Universiti Malaya memilih jalan yang bercanggah dengan peraturan universiti. Demonstrasi menjadi gaya perjuangannya terhadap sesuatu. Demonstrasi besar-besaran Baling 1974 suatu testimoni anarki bagaimana dikatakan ada orang mati kebuluran di sana dan kesannya adalah politik jalanan berlaku di Kuala Lumpur dan universiti-universiti.

Semasa dalam kerajaan 1982-1997, Anwar tidak menyenangi demonstrasi terutama sewaktu menjadi Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri. Dia amat tidak senang dengan pelajar-pelajar yang anti-establishment. Tahun 1998 selepas dipecat, reformasi dalam bentuk demonstrasi jalanan berada di puncak akibat tidak puas hati dipecat atas tuduhan liwat dan rasuah. Anwar menjelajah ke seluruh negara sehinggalah beliau diamankan di penjara Sungai Buloh.

Sewaktu di Amerika Syarikat selepas dibebaskan dari tahanan sekitar 1986-1988 beliau dilantik sebagai Pengarah The Foundation of the Futures oleh pihak sana dan mempunyai hubungan yang erat dengan ahli-ahli kongres dan pelobi Yahudi.

Selepas tsunami politik 2008, Anwar aktif semula dalam politik Malaysia dan memperkenalkan strategi Bersih politik jalanan menghadapi pihak yang berotoriti. Pendirian yang diambil semasa dalam kerajaan sama sekali tidak sama dan kenyataan terhadap DAP dan Pas jauh lebih ekstrem. Semasa dalam pakatan pembangkang pendirian itu berubah. Semuanya menjadi baik.

Jalur anarki yang ada pada Anwar memang sudah sebati. Ia akan muncul bila cita-cita peribadi politiknya tidak kesampaian. Dengan bakat pidato yang dimilikinya, dia menjadi tokoh penglipurlara yang sangat hebat dan mencetuskan kebencian yang mendalam terhadap kerajaan yang memerintah.

Sebelum PRU-13, sikap anarkisnya lebih menonjol. Dia sangat yakin menang dan lonjakan kempen Ini Kalilah dan UBAH menimbulkan kesedaran baru orang Cina terutama di bandar meninggalkan MCA dan Gerakan kerana Lim Kit Siang bakal ditabalkan menjadi Timbalan Perdana Menteri. Telah sekian lama Anwar bercita-cita untuk menawan Putrajaya, malah dalam ceramahnya beliau menyebutkan bakal mengangkat sumpah pada 6 Mei. Malangnya, takdir tidak menyebelahinya.

Lalu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipersalahkan. Dituduhnya ada undi hantu, 40,000 pengundi Bangla diimport, lampu di pusat pengiraan padam, isu dakwat dan macam-macam lagi. Tetapi mengapa tak ditunjukkan bukti dan laporan kepada polis supaya aduan dan petisyen dapat dibawa ke mahkamah.

Sekali lagi demonstrasi tanpa izin menjadi pilihannya . Mengheret generasi muda yang mudah terangsang dengan pidato panas dan mengajar mereka tidak menghormati undang-undang. Ia suatu mesej yang salah terhadap orang muda dan hari depan negara.

Anwar pernah menjadi orang penting dalam kerajaan Malaysia. SPR yang sama jugalah digunakan olehnya untuk menentukan demokrasi berjalan di Malaysia. Kalau dulu semuanya kena, mengapa hari ini keadaan SPR serba tak kena. Pelik bin ajaib sekali sikap seorang manusia yang meletakkan kepentingan diri lebih dari kepentingan peraturan negara.

Mungkin ada hal peribadi yang Anwar ingin perjuangkan yang tidak tertunai. Kalau berada di puncak kuasa banyak perkara yang boleh dilakukan.

Ironinya, negeri-negeri yang dikuasai umumnya sudah mengangkat sumpah dan membentuk barisan kepimpinannya bagaimana bila mengangkat sumpah di Parlimen nanti akan terus berada di jalanan atau turut angkat sumpah sama atau tidak mengangkat sumpah kerana tidak mengiktiraf Pilihan Raya Umum ke-13 sah dari segi undang-undang dan perlembagaan. Sama-samalah kita tunggu.

0 comments:

share2