Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 29, 2013

23 Hilang Tragedi Bot Karam


BELAGA - Sebanyak 23 penumpang hilang dan dikhuatiri lemas manakala 181 lagi terselamat selepas sebuah bot ekspres yang dinaiki mereka untuk pulang menyambut perayaan Hari Gawai karam setelah terlanggar batu di Sungai Rajang dekat sini hari ini.

Tragedi bot karam lima hari sebelum perayaan itu berlaku berhampiran Jeram Tukok/Jeram Bungan di sungai terpanjang di negara ini.

Insiden menyedihkan itu dipercayai berlaku sekitar pukul 9 pagi, kira-kira sejam selepas bot ekspres bernama Bakun Mas itu melewati pekan Belaga.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Bakar Sebau berkata, Bakun Mas bertolak dari Jeti Bakun kira-kira pukul 7 pagi menuju ke Terminal Bot Ekspres Sibu dengan perjalanan keseluruhan dianggarkan memakan masa lebih lapan jam.

Katanya, bot tersebut didapati membawa muatan berlebihan kerana had penumpang yang dibenarkan oleh Lembaga Sungai- Sungai Sarawak (LSS) cuma 74 orang.

"Seramai 181 penumpang berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai sebaik sahaja bot itu mulai karam.

"Sehingga pukul 5 petang ini, kesemua 23 penumpang yang hilang belum ditemui," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Bakar memberitahu, gerakan mencari dan menyelamat masih dilakukan oleh Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan penduduk tempatan.

"Lima anggota penyelam PGM dari Kuching akan tiba di lokasi kejadian awal pagi esok bagi membantu operasi," katanya.

Difahamkan, Bakun Mas yang bertolak dari Jeti Bakun berhenti di Jeti Belaga pada pukul 8 pagi namun tidak mengambil penumpang.

Malah, ramai penumpang yang kebanyakannya pekerja pembalakan dan ladang kelapa sawit di sekitar Bakun dilihat duduk di atas bumbung bot.

Rata-rata penumpang terbabit merupakan masyarakat Iban dan Orang Ulu yang mahu pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Gawai.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani ketika dihubungi pukul 10 malam ini mengesahkan angka mereka yang terselamat ialah 181 orang manakala 23 lagi masih hilang.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat dihentikan pukul 6 petang dan sehingga operasi itu ditangguhkan, belum ada mayat ditemui.

0 comments:

share2