Gerak hati seorang suami agar tidak membawa kereta untuk pergi kerja menyelamatkan keluarganya dalam satu insiden di Kampung Lata Kaseh di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, lelaki berkenaan meninggalkan kereta jenis Perodua Alza di hadapan rumah dan menunggang motosikal untuk pergi kerja disebabkan hujan.
Bagaimanapun, kereta yang ditinggalkannya itu remuk apabila dirempuh sebuah tayar lori balak yang tercabut dan bergolek laju menuruni bukit.
Kereta itu bagaimanapun menjadi penyelamat kerana menghalang tayar berkenaan daripada merempuh bilik yang didiami isteri dan anak lelakinya.
Menceritakan kejadian, isteri lelaki berkenaan, Siti Noraaisyah Abdul Rahman, 35, berkata, ketika kejadian, dia baru sahaja balik ke rumah selepas menghantar anak sulungnya ke sekolah rendah berhampiran.
"Sebaik tiba di rumah, saya pergi ke bilik hadapan melihat anak ketiga yang berumur tiga tahun sedang nyenyak tidur. Tiba-tiba saya dengar dentuman kuat sebelum emak mentua yang tinggal sebelah rumah memanggil saya.
"Saya terkejut melihat tayar lori yang tercabut merempuh kereta. Saya berasa bernasib baik kerana pada awalnya suami saya mahu bawa kereta tetapi disebabkan hujan rintik, dia tergerak menunggang motosikal sahaja," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Tayar lori balak yang tercabut dan merempuh kereta penduduk di Kampung Lata Kaseh, Jerantut semalam.
Siti Noraaisyah berkata, dia juga bersyukur kerana ketika kejadian, dia dan anak-anaknya tidak berada di luar rumah.
"Lega dan syukur kerana ibu mentua saya juga selamat. Selalunya ibu mentua saya berkebun di hadapan rumah," katanya yang merupakan seorang suri rumah.
Menurutnya, kawasan jalan berkenaan sememangnya sering dilalui lori balak, bagaimanapun kejadian itu merupakan kali pertama melibatkan tayar lori tercabut dan merempuh rumah penduduk.
"Kereta pula remuk di bahagian kanan dan mengalami beberapa kerosakan. Laporan polis telah dibuat.
"Setakat ini kami tidak menerima apa-apa bayaran ganti rugi. Majikan lori berkenaan ada memberitahu akan menanggung kos pembaikan kereta itu menggunakan tuntutan insurans lori balak berkenaan," katanya.
0 comments:
Post a Comment