Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 9, 2020

TENTERA BAIKI 21 RUMAH PENEROKA MANGSA RIBUT




KUANTAN: Seramai 30 anggota 4 Briged (Mekanize) Kem Batu 10, di sini akan menyertai 'Projek Jiwa Murni' membaiki 21 rumah peneroka mangsa ribut FELDA Jengka 21, Maran, Jumaat ini.


Pegawai Staf 3 Risik, Mejar Mohd Zaki Idealy Jamaludin, berkata program bersepadu itu turut mendapat kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Maran dan FELDA.


Katanya usaha membaiki rumah secara gotong-royong itu dijangka mengambil masa selama seminggu bergantung kepada keadaan cuaca serta bekalan bahan binaan yang diperlukan.


Dalam kejadian ribut di FELDA Jengka 21 pada 20 dan 29 Jun lalu, sebanyak 58 rumah rosak, kebanyakannya pada bahagian bumbung apabila diterbangkan angin. Sebanyak 37 rumah sudah dibaiki pemiliknya.


"Kos membaiki kerosakan dianggarkan sebanyak RM19,000 yang disediakan pihak MUIP. Atap, kayu dan paku bahan utama yang diperlukan untuk membaiki rumah yang rosak.


"Usaha membaiki rumah peneroka yang rosak perlu dilakukan segera bagi meringankan beban yang ditanggung pihak terbabit," katanya dihubungi, di sini hari ini.


Beliau Berkata 30 anggota yang terbabit pada program berkenan nanti terdiri daripada


anggota Skuadron 11 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (RRD) Mekanize termasuk seorang pegawai.


Mohd Zaki Idealy berkata, sebelum ini Pemangku Raja Pahang, Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melawat mangsa dan berharap bantuan membaiki rumah dapat segera dilakukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi projek jiwa murni.


Justeru katanya, pihaknya bersetuju untuk mengadakan projek jiwa murni bagi meringankan beban semua mangsa yang terbabit.



SUMBER – BERITA HARIAN

0 comments:

share2