Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 8, 2020

PAHANG SEDIA INISIATIF BANTU PENGUSAHA HOTEL BAJET




KUANTAN  – Kerajaan Negeri Pahang komited menyediakan inisiatif khas bagi membantu pemain industri pelancongan di negeri itu terutamanya pengusaha hotel bajet.


Pengerusi Jawatankuasa Perlancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, ia bertujuan memastikan kelangsungan sektor tersebut dalam meneruskan perusahaan perhotelan dalam suasana pasca covid-19 ketika ini.


Menurutnya, kerajaan menyediakan inisiatif ini sebagai usaha membantu sektor pelancongan ekoran kerugian seramai 1.5 juta pelancong setiap bulan dalam tempoh April hingga Jun tahun ini akibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.


 Pengerusi Jawatankuasa Perlancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin


“Buat permulaan, kerajaan negeri akan menyediakan bantuan rebet atau pun kupon dengan jumlah keseluruhan RM50,000 menerusi PahangGo. Rebet atau pun kupon ini boleh digunakan di hotel-hotel terpilih bagi mendapatkan diskaun atau potongan harga dengan konsep first come, first serve,” katanya dalam satu sidang media selepas menjadi tuan rumah webinar antara tiga negeri Pantai Timur Bicara Pelancongan Produktif, Norma Baharu Pelancongan Pantai Timur di Pejabat Pelancongan Pahang, di sini.


Turut serta pada webinar itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri Terengganu, YB Tuan Ariffin Deraman; Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Negeri Kelantan, YB Dato’ Mejar (B) Haji Mohd Anizam Abdul Rahman; Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Dato’ Dr. Ammar Abd Ghapar dan pemain industri dari seluruh Malaysia.


Beliau berkata, dalam suasana pasca covid-19 kini, pihak pelancongan juga bercadang menyediakan kemudahan percutian sambil bekerja kepada pelancong ke negeri ini bagi menggalakkan percutian pada hari bekerja selain tumpuan bercuti pada hujung minggu.


Cadangan ini bertujuan memudahkan pelancongan untuk menikmati percutian di samping dapat melaksanakan pekerjaan secara atas talian sebagaimana work from home atau bekerja dari rumah yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKP lalu.


“Bagi merealisasikan usaha ini, kita harus pastikan beberapa kemudahan telekomunikasi dan capaian internet berada pada tahap terbaik bagi menyediakan perkhidmatan yang memuaskan kepada pelancong ke negeri Pahang,” katanya.


YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar berkata, menerusi usaha dan inisiatif yang akan dilaksanakan, kerajaan negeri berharap agar sektor pelancongan di Pahang dapat pulih sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun hadapan.


Sehingga Jun 2020, sebanyak 12,763 tempahan bilik telah dibuat di seluruh negeri itu dengan Kuantan mendahului sebanyak 6,749 bilik diikuti Pekan dengan 1,258 bilik dan Cameron Highlands sebanyak 1,200 bilik.


“Saya berharap beberapa pendekatan yang kreatif dapat digunapakai bagi memecut pembangunan sektor pelancongan kembali kepada keadaan normal,” katanya.



SUMBER  – PAHANGMEDIA

0 comments:

share2