KUANTAN – Menurut perancangan awal yang telah dibuat oleh
kerajaan pusat di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14
(PRU-14) yang lalu, jajaran asal awal Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)
akan melalui negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum memasuki Selangor.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
berkata terdapat beberapa faktor agar perancangan awal ini diteruskan,
antaranya adalah untuk meningkatkan lagi penghantaran kargo dari utara
berbanding ke selatan kerana di kawasan selatan sudah mempunyai pelabuhan lain
seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.
“Kita juga ingin melihat ECRL yang jajarannya melalui Gombak
akan dilaksanakan kerana ini akan menghasilkan integrasi dengan sistem aliran
Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan LRT.
“Terkini di Negeri Pahang Darul Makmur, projek ini telah
mula dilaksanakan dan sudahpun berada pada tahap 13% atau 14%.
“Apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan bahawa
projek ini akan dikurangkan kos dengan perubahan-perubahan yang sedikit, ia
adalah satu perkara yang amat merugikan kerana kita telahpun mengambil langkah
untuk menyediakan tanah bagi melengkapkan projek ini,” katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Jelas Wan Rosdy lagi, pada tahun 2019, sebanyak 1,394.4
hektar tanah yang merangkumi 232.5km jarak perjalanan yang merentasi Bentong,
Temerloh, Bera, Maran dan Kuantan telahpun dalam proses untuk diambil-alih.
Tegasnya juga, dengan adanya ECRL mengikut pelan asal, ia
akan membawa kembali peluang pekerjaan kepada anak-anak Negeri Pahang.
“Dan semestinya ledakan ekonomi akan berlaku sekaligus
memberikan manfaat kepada rakyat negeri ini apabila siapnya infrasturktur ini.
“Saya telah menulis surat pada Mac 2020 yang lepas kepada
YAB Perdana Menteri agar dapat mengkaji semula pelaksanaan asal ECRL yang
benar-benar lebih menguntungkan untuk jangka masa yang lebih panjang,” kata
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu lagi.
Justeru katanya, Pahang berharap agar satu keputusan dapat
dicapai untuk mengembalikan semula pelan asal ECRL kepada perancangan awalnya.
SUMBER – UMNO ONLINE
0 comments:
Post a Comment