KUANTAN – Kerajaan
negeri Pahang membenarkan premis perniagaan yang beroperasi pada masa ini
kembali mengikuti waktu operasi berdasarkan kelulusan lesen sedia ada, berkuat
kuasa serta-merta.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pengusaha
premis perniagaan terlibat bagaimanapun perlu mematuhi prosedur operasi
standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara.
“Semua premis perniagaan, fasiliti awam dan pelanggan juga
diwajibkan menggunakan aplikasi MySejahtera atau PahangGo bagi tujuan pendaftaran
pergerakan dan semakan kendiri status risiko atau kesihatan,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan negeri hanya membenarkan operasi
perniagaan di Pahang bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam dalam tempoh
pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa 10
Jun lalu.
Keputusan yang dibuat pada 22 Jun lalu bagaimanapun
mengecualikan sektor seperti stesen minyak, klinik dan kilang yang dibenarkan
beroperasi mengikut kelulusan lesen asal.
Wan Rosdy berkata kelab malam, pub dan disko masih tidak
dibenarkan beroperasi, selari dengan keputusan kerajaan Persekutuan yang
diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru
ini.
Bagi aktiviti dan acara keagamaan, sosial atau majlis rasmi
seperti mesyuarat, perhimpunan dan latihan, Wan Rosdy berkata penganjuran
program perlu mematuhi aspek kapasiti ruang dan jarakan sosial.
SUMBER – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment