PEKAN, 2 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan
Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain
bertekad menaik taraf ekonomi setempat, memenuhi keperluan golongan muda dan
menjaga kebajikan golongan dewasa.
Kesemua perkara tersebut katanya akan menjadi fokus untuk
dirinya sekiranya diberi mandat oleh pengundi pada Sabtu nanti selain menjadi
‘jambatan penghubung’ antara kedua-dua generasi tersebut.
“Apabila saya diberi mandat antara fokus adalah golongan
muda, dari segi pembangunan perumahan dan juga ruang untuk generasi muda.
“Dan juga berkaitan tentang ekonomi yang kita akan beri
fokus untuk meningkatkan dari segi apa yang telah diusahakan oleh
usahawan-usahawan dan juga masyarakat di sini.
“Selain daripada itu, bagi warga emas saya melihat penumpuan
dari segi kebajikan maksudnya dari segi keperluan (rawatan) sakit yang perlu
dititikberatkan,” katanya.
Tambahnya juga, kewujudan kilang kertas di Paloh Hinai
merupakan satu peluang yang perlu digarap oleh anak-anak muda.
“Antara kita tengok hasrat orang muda hari ini mahukan
peluang pekerjaan. Ada satu ruang juga apabila sebuah kilang kertas yang akan
wujud di Paloh Hinai.
“Itu salah satu untuk membantu orang muda belum bekerja dan
kita akan berusaha bagaimana mereka ini dapat bekerja di kilang kertas ini
kerana pada peringkat awal pekerja seramai 210 pekerja dan dalam tempoh masa
lima tahun kilang ini akan memerlukan pekerja seramai tiga ribu orang,”
ujarnya.
Isnin lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia telah memberikan
komitmen memenuhi keperluan masyarakat setempat apabila bersetuju dengan
cadangan Mohd Sharim antaranya menaik taraf kemudahan dan infrastruktur Klinik
Kesihatan Chini dengan mewujudkan pusat hemodialisis, kemudahan x-ray, naik
taraf wad kecemasan dan penambahbaikan sistem pendawaian.
Perkara sedemikian diumumkan oleh Menterinya, Datuk Seri Dr
Adham Baba dalam siri lawatannya ke hospital dan klinik kerajaan seluruh
negara.
Berhubung dengan kempen PRK yang berbaki dua hari lagi,
pelbagai golongan dan lapisan masyarakat telah ditemui dan disantuni oleh Mohd
Sharim.
Kata generasi kedua Felda Chini 3 itu, penerimaan masyarakat
yang amat positif sepanjang berkempen ternyata telah memberikan beliau semangat
untuk berkhidmat dengan sebaik-baiknya.
“Bagi saya, apabila kita turun berkempen Alhamdulillah saya
melihat sambutan masyarakat menerima baik saya selaku calon BN.
“Bagi saya kepercayaan masyarakat DUN Chini ini terhadap
parti BN sangat tinggi untuk meneruskan (khidmat) di kawasan (milik) BN itu
sendiri,” ujarnya.
PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya
Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL)
kerana serangan jantung.
BN menampilkan Mohd Sharim Md Zain, 41, Naib Presiden Majlis
Belia Pahang dan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan serta pernah
dinobatkan sebagai Duta TN50 Felda Wilayah Kuantan.
Mohd Sharim yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan
dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Felda Chini 3 Berkat dicabar dua calon Bebas.
Usahawan muda itu amat menyanjung tinggi Allahyarham Abu
Bakar, yang digelarnya sebagai ‘ayahanda’ dan ‘mentor’ dalam kepimpinan dan
seterusnya mampu menjadi penyambung legasi perjuangan penyandang DUN Chini itu.
SUMBER – UMNO ONLINE
0 comments:
Post a Comment