Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 25, 2020

PRK DUN CHINI : ISU BERNAS PEMBANGUNAN ECO – TOURISM CALON BARISAN NASIONAL




Ternyata Barisan Nasional telah membuat pilihan yang tepat dengan memilih Mohd Sharim Bin Md Zin sebagai calon mereka untuk PRK DUN Chini. Sedang calon-calon lain membicarakan tentang senario politik nasional dan juga melemparkan retorik-retorik kosong, calon Barisan Nasional itu memberi tumpuan kepada nasib rakyat akar umbi yang lebih penting untuk diperjuangkan.


Apabila ditemui oleh wartawan Mohd Sharim telah memberikan komen yang amat bernas demi kelangsungan hidup para penduduk di Chini yang juga bergantung harap kepada pengukuhan ekonomi yang stabil.


Beliau yang merupakan aktivis masyarakat sebelum ini turut memperkatakan tentang perlunya Pusat Pelancongan Tasik Chini yang telah ditutup sejak November lalu untuk dimajukan dan diberi nafas baru untuk menarik tumpuan pelancong.


Kita perlu tahu bahawa sepanjang tahun 2018 dan 2019, Pahang merupakan negeri paling banyak menerima pelancong dari dalam dan luar negara. Nampaknya Mohd Sharim yang sering berjumpa dan bergaul dengan masyarakat setempat sedar akan perkara ini dan akan meningkatkan lagi keupayaan kawasan pelancongan tasik tersebut untuk menarik lebih ramai pengunjung.


Dengan kehadiran pengunjung yang lebih ramai, ini sudah tentu akan dapat meningkatkan lagi ekonomi penduduk setempat sekaligus menstabilkan ekonomi mereka, terutamanya apabila terjejas hebat akibat penularan wabak Covid-19 baru-baru ini.


Mohd Sharim juga telah menerangkan satu kajian komprehensif akan dilaksanakan bagi menilai kekuatan dan kelemahan sebelum langkah pembangunan yang sesuai akan dilaksanakan pada masa akan datang.


Ini selaras dengan iltizam kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur, di bawah kendalian Menteri Besar YAB Dato’ Seri Haji Wan Rosdy yang begitu peka terhadap pembangunan terancang dan mampan. Sepertimana yang telah kita lihat sebelum ini, kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur adalah kerajaan yang paling komited dalam usaha konservasi, pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.


Pahang nampak begitu komited dalam memelihara khazanah alam yang terdapat di negeri tersebut. Sebelum ini Negeri Pahang Darul Makmur telah menghentikan aktiviti perlombongan dan melaksana program-program pemuliharaan yang meluas dengan mengambil kira keselamatan tumbuhan-tumbuhan asli dan haiwan-haiwan liar yang terdapat di dalam hutan di negeri tersebut.


Konsep Eco Tourism yang telah dibicarakan oleh Mohd Sharim ini bukanlah satu konsep baharu, tetapi dengan komitmen yang telah ditunjukkan oleh kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur sekarang, adalah penting untuk rakyat sedar bahawa sekiranya mereka mahukan pembangunan mampan yang menguntungkan mereka dalam jangka masa pendek dan panjang, seharusnya Mohd Sharim diberikan sokongan yang penuh.



Kita percaya dengan tenaga dan perspektif yang segar daripada Mohd Sharim, DUN Chini akan dapat meneruskan iltizam yang telah digerakkan oleh kerajaan negeri dan seterusnya meningkatkan ekonomi penduduk setempat di samping melindungi khazanah alam yang terdapat di negeri tersebut.

0 comments:

share2