PEKAN, 22 Jun --
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 156 kertas undi pos
bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini semalam.
Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan hari
ini berkata pengeluaran kertas undi pos bermula pada 2.30 petang dan dijalankan
oleh Petugas Pilihan Raya di Dewan Komuniti, Majlis Daerah Pekan.
“Kesemua 156 permohonan undi pos tersebut terdiri daripada
kategori Borang 1A (petugas pilihan raya). Tiada Pengundi Tidak Hadir (PTH)
Luar Negara dan permohonan undi pos bagi kategori Borang 1B (warganegara
Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori Borang 1C (anggota petugas
kesihatan dan keselamatan yang dibenarkan),” katanya.
PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara
calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas Tengku
Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49 tahun.
Azhar berkata proses pengeluaran kertas undi pos itu
dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada parti BN di samping menjemput
seorang wakil pemerhati terpilih untuk menyaksikan proses pengeluaran kertas
undi pos berkenaan.
Selain itu, katanya proses pengeluaran kertas undi pos itu
turut disiarkan secara langsung di
Facebook SPR bertujuan untuk meningkatkan lagi kefahaman masyarakat awam
mengenai proses pilihan raya.
Azhar berkata sebanyak 155 sampul keutamaan telah diserahkan
kepada pihak Pos Malaysia untuk dihantar kepada pengundi-pengundi terbabit
manakala satu lagi sampul keutamaan telah diserahkan oleh Pegawai Pengurus
kepada pengundi melalui serahan tangan pada hari yang sama.
SPR mengingatkan semua pengundi pos supaya mengisi dengan
lengkap dan betul serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus PRK DUN
Chini sebelum 5 petang pada hari pengundian 4 Julai ini.
Justeru itu, Azhar turut mengingatkan pengundi agar tidak
merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.
“Sekiranya perbuatan ini dilakukan, tindakan undang-undang
akan diambil dan jika disabitkan serta didapati bersalah boleh dikenakan
hukuman sewajarnya,” kata beliau.
DUN Chini dengan dua mukim iaitu Penyor dan Lepar mempunyai
20,990 pengundi yang kebanyakannya membabitkan diri dalam sektor perladangan.
DUN Chini, salah satu daripada empat DUN di bawah Parlimen
Pekan, menyaksikan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula
dilaksanakan pada 18 Mac lepas.
SUMBER -- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment