KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus
meninggal dunia pukul 12.30 pagi tadi.
Perkara tersebut disahkan oleh anak Allahyarham, Mohd
Firdaus Ismail dalam hantaran di laman Facebook.
“Saya dengan hati yang sangat hiba memaklumkan abah saya
(Dato’ Ustaz Haji Ismail B. Kamus) telah kembali kerahmatullah pada jam 12:30
pagi 8 Mei 2020 /15 Ramadhan 1441 Hijrah,” katanya.
Tokoh agamawan itu sebelum ini menerima rawatan di Unit
Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur.
Beliau dimasukkan ke ICU sejak 26 April disebabkan keadaaan kesihatan yang
agak lemah.
Allahyarham dilahirkan pada 2 Disember 1948 di Kampung
Batang Rening , Ulu Selangor dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab
Batang Kali sebelum meneruskan pengajian ke Ma’ahad Hisyamuddin, Klang di mana
beliau berguru dengan seorang ulama tersohor, Asy-Syeikh Mahmood al-Arif
al-Bukhori.
Allahyarham kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam
Klang dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan mendapat ijazah Sarjana
Muda Syariah dengan kepujian pada 1976.
Allahyarham juga pernah menuntut di Beaver College
Pennsylvania, Amerika Syarikat.
Allahyarham pernah bertugas sebagai guru, Pegawai
Penyelidik, Pegawai Dakwah selain bertugas selama 15 tahun di pelbagai jabatan
seperti di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Tadbiran
Awam Negara (INTAN) dan Pusat Islam.
Jawatan terakhir Allahyarham ialah sebagai Pakar Rujuk di
Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan.
Allahyarham juga adalah seorang perunding motivasi dan pendakwah bebas dengan
memberi ceramah agama di seluruh dunia seperti Brunei Darussalam, Indonesia,
Thailand, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan negara Asia
Barat.
Ismail juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Gombak Setia.
;
SUMBER–
0 comments:
Post a Comment