KUANTAN, 8 Mei -- Kerajaan negeri Pahang bersetuju
melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan prosedur
operasi standard (SOP) pelaksanaannya, akan dikeluarkan hari ini.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata,
pelaksanaan PKPB di negeri ini memberi penekanan kepada aspek penguatkuasaan,
termasuk melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan pematuhan SOP
tersebut.
"Kerajaan negeri telah menurunkan kuasa kepada PBT di
Pahang, seperti yang diputuskan pada mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada Rabu
(6 Mei) dan diperhalusi lagi dalam mesyuarat mingguan Jawatankuasa Kerja Keselamatan
Negeri, hari ini.
"Ini bagi memastikan kesihatan awam atau rakyat terus
terpelihara, apabila sektor ekonomi dan sektor awam tertentu dibuka semula
seperti mana ditetapkan di bawah PKPB," katanya menerusi kenyataan media
di sini, hari ini.
Wan Rosdy berkata, tindakan kerajaan negeri adalah selari
dengan kenyataan beliau pada 3 Mei lalu, yang menyokong keputusan kerajaan
Persekutuan melaksanakan PKPB, namun memohon diberi masa untuk mengkaji dan
memperhalusi SOP, bagi disesuaikan dengan situasi wabak COVID-19 di Pahang.
Pada 1 Mei, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam
Perutusan Khas Hari Pekerja 2020 mengumuman pelaksanan PKPB, yang membolehkan
sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial beroperasi mulai Isnin lalu,
tertakluk kepada syarat dan SOP ditetapkan.
Tindakan itu perlu dilakukan kerana menurut Perdana Menteri,
negara kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh PKP yang
dikuatkuasakan, bagi membendung penularan wabak COVID-19.
SUMBER -- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment