KUANTAN - Kerajaan Pahang hari ini mengumumkan enam lagi
insentif bagi membantu golongan yang terkesan ekoran Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) di negeri ini melalui peruntukan keseluruhan berjumlah lebih
RM600,000.
Melalui insentif baharu untuk fasa keempat itu, seramai
4,225 penerima mendapat manfaat termasuk dalam kalangan veteran tentera, bekas
polis, sukarelawan askar wataniah dan nelayan tidak berlesen dengan setiap
penerima bakal menerima bantuan tunai RM100 dan barangan dapur bernilai RM50.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
berkata, sepanjang PKP ini, sebanyak 28 insentif sudah diumum dan dilaksanakan
kerajaan negeri melalui empat fasa dalam tempoh 23 Mac lalu hingga hari ini.
"Nilai peruntukan serta implikasi kewangan yang
ditanggung oleh kerajaan negeri untuk kesemua 28 insentif itu berjumlah
RM24.962 juta atau kira-kira 3.37 peratus daripada Bajet Negeri Pahang 2020
(RM739.89 juta).
"Jumlah penerima keseluruhannya melibatkan kira-kira
101,894 ketua isi rumah atau kira-kira 27.86 peratus daripada kesemua 365,800
ketua isi rumah di negeri ini," katanya melalui satu kenyataan di sini
hari ini.
Mengulas lanjut, melalui insentif baharu diumumkan itu,
sebanyak RM360,000 diperuntukkan kepada 2,400 veteran tentera berpencen tanpa
gaji yang juga ahli Persatuan Veteran Tentera Negeri Pahang, manakala sebanyak
RM90,000 diperuntukkan kepada 600 bekas polis yang juga ahli Persatuan Bekas
Polis Pahang.
Pada masa sama katanya, sumbangan serupa juga dihulurkan
kepada 300 anggota sukarela Rejimen 505 Askar Wataniah di negeri ini dengan
nilai peruntukan RM45,000 dan 565 nelayan tidak berlesen turut menerima
peruntukan RM84,750 dengan bentuk bantuan sama.
Wan Rosdy berkata, melalui inisiatif itu juga, kerajaan
negeri menyediakan bantuan barangan keperluan dapur bernilai RM50 kepada 300
penerima melalui permohonan badan bukan kerajaan (NGO) dengan jumlah peruntukan
RM15,000.
"Kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan RM20,000
di bawah insentif ini untuk sumbangan kepada pengurusan Kolej Universiti Islam
Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) untuk menampung perbelanjaan makan minum 60
pelajar anak Pahang yang kekal tinggal di rumah-rumah sewa ekoran PKP,"
katanya.
Wan Rosdy turut berharap kesemua 28 insentif itu dapat
dilaksanakan dengan berkesan seterusnya membantu meringankan beban rakyat yang
terkesan dengan PKP dalam membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19) di
negeri ini.
SUMBER : SINAR HARIAN
0 comments:
Post a Comment