KUANTAN, 16 APRIL 2020: Pasaraya atas talian atau portal
pertama di Pahang yang dikenali sebagai PahangMart akan memulakan operasinya
bermula Ahad.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau,
Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Hj Mohammad Fakhruddin Mohd
Ariff berkata, portal ini akan memaparkan senarai pasaraya yang beroperasi
dalam negeri Pahang beserta barangan jualan mereka.
“Kita wujudkan portal ini iaitu www.pahangmart.com ini
adalah untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat untuk membeli
barang secara online.
“Antara pasaraya yang sudah berdaftar dengan kita adalah
Cowboy Mart, Eng Hong Mart, TMG Mart dan LYC Mart,” katanya ketika dihubungi
menerusi Program Sembang Malam bersama Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan,
Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang,
YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin, semalam.
Beliau berkata, selain turut menggunakan perkhidmatan
penghantaran sedia ada, PahangGo (pihak yang bertangungjawab membina portal
PahangMart ini) juga akan menyediakan platform penghantaran (runner).
“Orang ramai boleh memilih senarai barangan yang ada di
dalam portal berkenaan, kemudian pesan dan bayar sebelum dihantar terus ke
depan pintu rumah pembeli,” katanya.
Pengerusi
Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia
Negeri Pahang, YB. Dato’ Hj Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika dihubungi
menerusi Program Sembang Malam bersama Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan,
Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang,
YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin, semalam.
Sementara itu, beliau berkata, setakat ini terdapat
kira-kira 4,700 peniaga bazar Ramadan yang sudah berdaftar dengan Pihak
Berkuasa Tempatan yang akan diletakkan di dalam e-bazar Pahang.
“Senarai peniaga-peniaga ini kita akan letak di dalam portal
PahangMart untuk menjadi rujukan kepada syarikat e-hailing. Mereka boleh
menghubungi peniaga bazar berkenaan untuk menjadi penghantar makanan mereka,”
katanya.
Beliau berkata, kepada rakyat Pahang yang berminat untuk
mendaftar sebagai penghantar (runner) ini pula, bolehlah menghubungi ‘PahangGo’
menerusi laman sosial mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.
“Menerusi inisiatif ini diharap dapat membantu bukan sahaja
rakyat/pengguna untuk membeli juadah Bazar Ramadan dan barangan keperluan
harian lain, malah boleh membantu peniaga dan penjaja kecil untuk terus
berniaga dalam tempoh yang sukar akibat wabak pandemik COVID-19 ini,” katanya.
SUMBER -PAHANGMEDIA
0 comments:
Post a Comment