KUANTAN, 23 April -- Kadar bayaran zakat fitrah di Pahang
bagi tahun ini ditetapkan sebanyak RM7 dengan kaedah pembayaran secara dalam
talian atau online dan aplikasi digital ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa.
Setiausaha Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
(MUIP) Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata Sultan Pahang iaitu Yang di-Pertuan
Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Ketua Agama
Islam negeri telah memperkenankan kadar bayaran itu.
Untuk rekod, kadar bayaran RM7 kekal bagi tempoh 12 tahun
berturut-turut sejak MUIP mengumumkan kadar tersebut kali pertama pada tahun
2009.
"Mengambil kira pematuhan kepada PKP bagi memutuskan
rantaian COVID-19, kaedah bayaran melalui amil zakat fitrah tidak disediakan
dan bayaran boleh dilakukan secara online di laman web ezakat.muip.gov.my.
"Selain itu, bayaran juga diterima melalui aplikasi
digital PahangGo atau SnapNPay yang boleh dimuat turun di App Store atau Google
Play," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Ahmad Hairi berkata mereka yang tidak mempunyai kemudahan
internet boleh memilih kaedah bayaran melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ke
Zakat Fitrah Pahang di 15888 untuk MUIP mendahulukan bayaran dengan pembayar
membuat bayaran semula selepas tamat tempoh PKP.
Kaedah itu, bagaimanapun hanya terpakai kepada mereka yang
tidak mempunyai anak dan saudara mara yang boleh membantu atau tiada wakil
untuk membayar zakat fitrah secara dalam talian bagi pihak mereka.
"Keharusan menggunakan kaedah bayaran melalui SMS
adalah berdasarkan keputusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri
Pahang. Bagaimanapun, kaedah ini tidak lagi terpakai jika PKP tamat dalam
tempoh Ramadan dan khidmat amil zakat fitrah disediakan," katanya.
Ahmad Hairi juga mengingatkan bahawa mereka yang memungut
zakat fitrah tanpa dilantik MUIP boleh didakwa di bawah Seksyen 38, Enakmen
Kesalahan Jenayah Syariah 2013 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau
penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
SUMBER: -- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment