KUALA LUMPUR -- Perwatakan sederhana dan toleransi Datuk
Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan
Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dalam menyelesaikan isu berkaitan agama
sebelum ini, dipercayai mampu membantu memperkukuhkan perpaduan rakyat pelbagai
kaum di negara ini.
Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof Emeritus Datuk Dr
Mahmood Zuhdi Ab Majid berkata, Mufti Wilayah Persekutuan itu adalah seorang
ulama yang berkebolehan, dalam urusan beragama mahupun masyarakat merentasi
parti politik.
"Kedudukan beliau sebagai non-partisan boleh
mengukuhkan lagi keyakinan rakyat, dalam menguruskan cita-cita perpaduan ummah
dalam negara ini,” katanya ketika dihubungi.
Mahmood Zuhdi berkata pelantikan Zulkifli, juga akan memberi
peluang kepada lebih ramai para teknokrat, untuk mentadbir hal ehwal Islam
tanpa tekanan pengaruh politik kepartian, yang sebelum ini memberi kesan kepada
kelancaran di peringkat pusat dan negeri.
Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia, Dr Roslan Mohd
Nor pula berharap Zulkifli dapat menggalas tanggungjawab menteri, yang menjaga
kepentingan Islam dengan beramanah selain mengharapkan rakyat, memberikan
sokongan sepenuhnya kepada polisi yang akan diperkenalkan nanti.
Beliau turut berharap anak kelahiran Terengganu itu juga,
dapat mengadakan lebih banyak pintu dialog bersama badan bukan kerajaan (NGO)
yang berteraskan Islam di negara ini, supaya agenda dan usaha mendaulatkan
Islam dapat terus diperkasakan.
SUMBER -- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment